Sunday, November 29, 2015

Datuk Hamidah Membina Kes Saman Salah Pecat Terhadap DS Najib, Tengku Adnan Dan KJ?

Hari ini kes Anina menyaman Tengku Adnan, Setiausaha Agung UMNO, sebagai pegawai terlibat dalam pemecatan beliau dari UMNO bermula perbicaraannya. Selain itu, tempohari, Datuk Hamidah Othman telah menimbulkan persoalan tentang sebab beliau dipecat keahliannya. Ini memandangkan beliau tidak pun diberi sebarang makluman siasatan salah-laku beliau beedasarkan alasan-alasan diberikan ahli-ahli MKT yang memberi ulasan. Malah, satu-satunya surat tunjuk-sebab kepada beliau pada bulan Mei 2015 sudah pun dijawabnya.

Sebab kenapa Datuk Hamidah dipecat malah menjadi lebih kabur apabila sebab-musabab diberikan berbeza-beza, terutama oleh Tengku Adnan dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin. Kekaburan ini beserta dengan kenyataan terbuka oleh para pegawai UMNO tersebut kini memberi Datuk Hamidah kedudukan lebih baik untuk menyaman sama ada dan para pegawainya kerana memecat beliau tanpa sebab ataupun para pegawai yang sudah membuat kenyataan media tentang pemecatannya kerana menyelar nama baiknya!

Jurublog ini percaya bahawa kenyataan media Datuk Hamidah di mana beliau menyatakan niatnya untuk tidak merayu keputusan memecat beliau sekaligus mendesak penjelasan atas sebab pemecatan tersebut merupakan petanda bahawa saman terhadap Tengku Adnan dari seorang lagi ahli Wanita UMNO yang dipecat, kali ini seorang Ketua Wanita Bahagian, menyusul! Datuk Hamidah pula terlihat agak teliti dengan pendekatannya, menunggu dahulu permulaan kes Anina sekaligus memasang jerat dengan persoalan sebab pemecatannya.

Mungkin ada baiknya Arul 'Azrul' Kanda mengambil pendekatan Datuk Hamidah tersebut sebelum mengeluar kenyataan membidas penulisan Tun Dr Mahathir yang mengkritik penjualan EDRA oleh 1MDB ke sebuah syarikat China tempohari. Kalau betul beliau di pihak benar, patutlah lebih berhemah dengan jawapannya dahulu sementara mengkaji dengan teliti kedudukannya di sisi undang-undang. Kalau betul Tun Dr M berbohong seperti dituduhnya, maka beliau boleh menyaman atau setidak-tidaknya mengancam akan melakukan demikian.

Itu kalau Arul, 1MDB dan DS Najib di pihak yang benarlah...

... tapi itu cerita lain...

... tapi juga cerita sama, sebab kalau ikhlas para pegawai UMNO berkenaan, Datuk Hamidah dipecat kerana begitu kritis terhadap 1MDB yang kini sudah diangkat ke taraf maksum, kebal dan syumul oleh DS Najib serta para pendukungnya. Maka tak kira apa bahaya pada UMNO mahupun hak, apatah lagi keadilan terhadap ahli-ahli seperti Anina dan Datuk Hamidah, mereka harus dipecat kerana mempersoalkan kewibawaan DS Najib tentang salah-lakunya di 1MDB.

Kita tunggu dan lihat sama ada Datuk Hamidah akan menyaman sekaligus jika beliau dapat mengheret DS Najib sekali ke mahkamah sebagai Pengerusi Mesyuarat MKT yang memecat beliau!? Atau mungkin DS Najib patut berundur dahulu sebelum bertambah lagi beban malu padanya sampai dah tak terpikul lagi...

#UndurNajib

Ikhlas, AMUbaidahS

Tuesday, November 24, 2015

Pemecatan Datuk Hamidah Oleh MKT UMNO 'Separuh Masak'?

Alhamdulillah, tuduhan terhadap penulisan jurublog kononnya pertukaran masa serta tempat mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO adalah 'mengarut' terbukti tidak. Mesyuarat MKT berlangsung di Parlimen semalam, dan apa yang disyaki berlaku dilaksanakan, ada yang 'separuh masak', ada seperti dirisaukan. Risau sangat MKT pimpinan Najib akan tanggapan orang tentang pertukaran masa dan tempat, siap menjadi bahan hebahan media lagi penjelasan kenapa dilaksanakan di parlimen... tapi itu alasan sahaja...

Apa yang MKT putuskan seperti dijangkakan?

1 - TS Muhyiddin Yassin (TSMY) dihalang merasmikan 3 Sayap serentak seperti tradisinya, kononnya atas permintaan ketiga-tiga Ketua Sayap. Alasan ia permintaan dari Ketua Sayap hanya munasabah jika dari Ketua Wanita, DS Shahrizat Jalil yang nyawa politiknya serta keselamatan suaminya dari dipenjarakan hasil skandal NFC bergantung juga kepada ihsan DS Najib. Tetapi YB-YB Khairy Jamaluddin (KJ) dan Mas Ermiyati pasti tiada halangan mendengar ucapan perasmian TSMY, terutama Pemuda yang ramai simpati terhadap beliau.

Sebenarnya keputusan ini akan memberi cabaran baru yang juga peluang kepada KJ khususnya - beliau seringkali digambarkan sebagai 'lalang' tempohari kerana kelihatan mendampingi TSMY tetapi pada masa sama sedia terus berkhidmat dan akur kepada Presiden, terutama di dalam Kabinet 1MDB....

2 - Setiausaha Agung UMNO, YB Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, telah mengumumkan garis-panduan baru sewaktu Perhimpunan Agung UMNO tahun ini (PAU2015), di mana persidang dilangsungkan secara tertutup, tanpa media mahupun tayangan langsung ke TV-TV sekitar PWTC seperti lazimnya, kecuali untuk ucapan Presiden. Sebaliknya, 2 Naib Presiden, DS Zahid Hamidi dan DS Hishamuddin akan membuat sidang media di hujung setiap hari persidangan... DS Shafie Apdal dikecualikan! Ini kita komen lagi kemudian...

Kemudian ada juga keputusan separuh masak...

3 - Datuk Hamidah, Ketua Wanita Gopeng dan mantan Ketua Penerangan Wanita Kebangsaan serta mantan Exco Perak dipecat! Dipaparkan imej menunjukkan beliau pernah diberi surat tunjuk sebab menjemput Tun Dr M berucap di Ipoh, mungkin sekala untuk mengkritik DS tentang skandal 1MDB. Kenapa 'Separuh Masak'? Melihat surat tunjuk-sebab tersebut, kelihatan lama, bulan Mei dikeluarkan?! Kalau betul salah, kenapa harus menunggu sehingga bulan November untuk dipecat?

Surat Tunjuk Sebab Ke Datuk Hamidah Pada Bulan Mei 2015

Jurublog mengesyaki Datuk Hamidah bukanlah tokoh parti yang dirancang pemecatannya pada Mesyuarat MKT Misteri ini. Peluang terlalu keemasan telah terbuka dengan ketidak-hadiran TSMY dan DS Shafie Apdal, mahupun beberapa orang Menteri Besar yang bersimpati terhadap TSMY, DS Mukhriz Mahathir, DS Zambry Kadir serta DS Khaled Noordin. Sebuah perbincangan tergesa-gesa di antara DS Najib dan orang-orang kanannya seperti di imej bawah sejurus sebelum mesyuarat MKT memberi gambaran ada perubahan rancangan...

Perbincangan Sulit Sebelum Mesyuarat MKT

Maka, jurublog mengesyaki pemecatan Datuk Hamidah hanyalah menggantikan rencana awal memecat seorang tokoh lebih tinggi jawatannya dalam parti. Siapa? Wallahualam... pembaca sendiri boleh membuat andaian. Walaupun kita simpati dan hormat Datuk Hamidah yang juga bukan calang-calang orangnya, beliau wirawati UMNO yang diiktiraf mantan MB Perak, TS Tajol Rosli sebagai penggerak usaha yang berjaya menjatuhkan kerajaan PR Perak dan mengembalikan kerajaan BN di sana. 

Tetapi... rasanya beliau mangsa perubahan sasaran ketagihan rejim DS Najib menunjukkan kuasa dengan memecat!

Ada kawan-kawan yanb setia mempertahankan parti tertanya-tanya apa yang patut di'spin' sebagai sebab Datuk Hamidah dipecat. Jawapan jurublog:

"Tak payah spin, ikhlas sahaja cakap Datuk Hamidah dipecat sebab menjemput Tun Dr M berucap di mana beliau mengkritik DS Najib tentang isu 1MDB. Mengkritik DS Najib tentang hal 1MDB sekarang sudah menjadi dosa besar parti di mana sesiapa pun boleh dipecat kerananya. TSMY pun dah dibuang dari jawatan TPM sebab mengkritik tentang skandal 1MDB dan kini tak dibenarkan merasmikan 3 Sayap sebab risau beliau mengkritik lagi DS Najib ttg 1MDB. Tapi kalau nak pecat TSMY tak berani, kalau Datuk Hamidah takat Ketua Wanita Bahagian sahaja, beranilah nak pecat."

Pesanan peribadi jurublog ke Datuk Hamidah: "Datuk Midah syahid (politik) hari ni... tak perlu siksa macam kami yg masih belum syahid dan terkial-kial nak jawab kenapa masih dalam UMNO yg sudah bukan UMNO lagi. Semoga kita selamatkan UMNO dan menyambut kembalinya Datuk Midah ke UMNO nanti atau kita syahid bersama, insya Allah..."

#UndurNajib

Ikhlas, @AMUbaidahS

Thursday, November 19, 2015

Mesyuarat Misteri 24 November 2015 ... Beranikah Najib II ?!?

Jurublog ini mendapat maklumat demikian malam tadi:

1 - Datuk Ab Rauf Yusoh, Setiausaha Kerja UMNO, sedang dengan 'senyap-senyap' menjemput ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ke sebuah mesyuarat di Parlimen pada 24 November 2015, bermula jam 6 petang.

2 - Ada sumber mengatakan bahawa mesyuarat tersebut merupakan mesyuarat MKT yang dibawa ke hadapan dari tarikh asal 27 November 2015 mengikut takwim MKT bagi tahun 2015. Malah, mesyuarat asalnya seperti biasa dijadualkan bermula jam 3 petang di PWTC pada tarikh tersebut.

3 - Malam tadi, TS Muhyiddin Yassin (TSMY) bertolak ke luar negara dan dijangka pulang hanya pada 25 November 2015! Pada masa yang sama, DS Shafie Apdal diberitakan masih di luar negara juga sambil mengerjakan umrah!

Andaian yang boleh dengan segera dibuat dari maklumat di atas adalah, sudah ada komplot untuk menyegerakan mesyuarat MKT di tempat luar dari pemantauan para penggerak UMNO yang mungkin bersimpati terhadap TSMY, maka... adakah ini usaha untuk memecat atau menggantung keahlian TSMY sementara beliau di luar negara dan tak dapat menyelamatkan nyawa politiknya di gelanggang saksama? Begitu 'mengancam'kah tindak-tanduk TSMY sebelum ini kepada UMNO yang beliau harus dipecat atau digantung secara 'pukul curi' ini?

Jurublog difahamkan usaha menyingkirkan TSMY ada juga dilambung oleh Datuk Puad Zarkashi serta disambut dahulu oleh Datuk Azalina Othman pada mesyuarat MKT lepas, tetapi terlalu amat sangat gagal, dan topik mesyuarat beralih ke isu-isu lain. Mungkin juga ia gagal mendapat sambutan ahli-ahli MKT kerana mereka menghadapi para penyokong TSMY yang begitu ramai membanjiri jalan masuk ke Menara Tun Hussein pada hari tersebut. Ada juga mungkin tak sampai hati memecat seorang rakan setia sambil direnung wajahnya...

Kalaulah usaha sebelum ini gagal, tak hairanlah jika usaha terkini dirancang secara senyap-senyap dan tanpa kehadiran TSMY mahupun DS Shafie Apdal untuk memastikan kejayaan. Mungkinkah dalam keghairahan mereka memukul-curi, para pengomplot juga akan mengusulkan pemecatan DS Shafie, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Dr M dan TS Sanusi Junid sekali? Alang-alang kan... deme ni lupa mungkin yang ada tokoh-tokoh ini yang menjadi lebih merbahaya kepada kepimpinan UMNO bila di luar parti!

Ada juga ura-ura yang pelbagai ide baru sedang dipertimbangkan untuk memperkebalkan kedudukan DS Najib dari dijatuhkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU2015). Mungkin ini sebenarnya akan diusulkan? Contohnya, ada ide yang PAU2015 akan tertutup langsung dari pemerhati luar (selain DS Rosmah) kecuali ucapan Presiden! Ada yang ingin menyekat TSMY dari merasmikan Mesyuarat Agung 3 Sayap seperti tradisinya dilakukan Timbalan Presiden. Ucapan-ucapan pembahas pula dikatakan perlu 'diluluskan' urusetia PAU2015!

Kalaulah benar ini sebenarnya agenda sebenar Mesyuarat MKT Rahsia yang sedang diatur pada 24 November, maka mungkin lebih baik juga TSMY dan mana-mana wira sebenar bangsa dikecualikan dari bersekongkol dari usaha menidakkan lagi hak ahli-ahli UMNO. Silap-silap tak lama lagi, para pemimpin lain di peringkat Bahagian dan Cawangan pun akan dirancang pemecatan mereka, alang-alang nak buat parti serta kerajaan macam hak sendiri. Inikah legasi DS Najib akhirnya? Atau sediakah beliau sedar, berundur, sebelum terlambat...

Saturday, November 14, 2015

Senario Menjatuhkan Najib... Ada Caranya!

Semakin lama, rakyat Malaysia kelihatan kian putus harapan tentang peralihan kepimpinan negara. Tempohari, kelulusan bajet 2016 yang mengecewakan rakyat sehingga gegula BR1M pun tak terdaya menampung peningkatan kos hidup rakyat terutama kononnya golongan sasaran 40% terendah pendapatannya, para pemimpin pro-Najib, termasuk ahli kabinet 1MDB, jelas mengutamakan populariti dari kepimpinan sebenar melalui sokongan kepada tabiat Vape yang membahayakan kesihatan, kononnya selamat!

Dalam senario kepimpinan yang terlihat dengkel ide, ketandusan keberanian dan tiada keupayaan memperbetulkan kesalahan-kesalahan Perdana Menteri, DS Najib, apatah lagi bagi memaksa pengunduran beliau dari tampuk kepimpinan, terlalu mudah bagi rakyat hilang harapan untuk masa depan negara. Malah dengan pendedahan-pendedahan seperti salahguna dana Tabung Haji serta Kumpulan Wang Amanah Pesara (KWAP) untuk menyelamatkan projek Dana Riba 1MDB kesayangan DS Najib, ramai yang kesangsian peluang menunaikan Haji sekalipun!

Maka di sini, blogger ini ingin memberi suntikan harapan kepada pembaca sekelian yang kiranya Allah SWT menerima doa kita agar Malaysia diselamatkan dari kerenah DS Najib serta kuncu-kuncunya, pasti jalan akan dibuka untuk menyegerakan pengunduran DS Najib. Suntikan harapan ini dalam bentuk senario apa yang mungkin berlaku pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 (PAU2015) pada bulan Disember ini. Harus dinyatakan di sini, apa yang bakal dikongsi hanyalah suatu senario, kemungkinan, sebagai tatapan demi menyuntik harapan dan bukan hasutan...

1: Pada akhir 22 November 2015, berlaku insiden yang mematahkan segala usaha untuk menjatuhkan atau mengecualikan TS Muhyiddin Yassin (TSMY) dari jawatan Timbalan Presiden UMNO. Insiden berlaku tak semena-mena apabila dalam ucapan rasmi Presiden Obama dalam lawatannya ke Malaysia, beliau secara spontan memuji DS Najib kerana tak membuang TSMY dari jawatan UMNOnya walau ada perbezaan pendapat, kononnya berbeza dengan tindakan Tun Dr M terhadap Anwar Ibrahim dahulu.

Insiden terlalu mengejut yang segera disambut ucapan terima kasih serta bidasan terbaru TSMY terhadap isu 1MDB tidak terbalas oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO), malah juga menguatkan suara TSMY menjelang PAU2015.

2: PAU2015 bermula pada malam 8 Disember 2015 secara tradisinya dengan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO (3 Sayap) oleh Timbalan Presiden parti, TSMY. Seperti dirisaukan oleh PMO, TSMY telah memberikan ucapan berapi-api, memperingati para perwakilan 3 Sayap akan pendedahan penyelewengan kerajaan DS Najib yang lepas dan juga membongkar isu-isu baru tentang salah-laku pentadbiran UMNO sendiri! TSMY mengakhiri ucapan dengan seruan agar seluruh perwakilan UMNO, bermula dengan 3 Sayap bersuara dan mendesak agar DS Najib menyedari kesalahannya dan jika perlu, berundur!

3: Ucapan perasmian TSMY disambut dengan kenyataan-kenyataan media pedas dari Naib Presiden parti, merangkap pemerhati Mesyuarat 3 Sayap, DS Shafie Apdal, menyokong seruan TSMY. Sokongan kepada seruan TSMY juga diberi oleh para perwakilan induk mahupun 3 Sayap dari Johor, Sabah, Kedah dan Terengganu. Ia dikecam oleh beberapa pihak seperti Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Jamal "Sekinchan", yang menyumpah setia akan mempertahankan kepimpinan DS Najib walau berlumuran darah!

4: Para Ketua 3 Sayap membuka mesyuarat masing-masing dengan cara berbeza keesokan harinya. DS Shahrizat Jalil mengutuk sekeras-kerasnya seruan TSMY, namun ini tidak dapat menghalang perwakilan wanita meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kenaikan kos sara hidup keluarga. Datuk Mas Ermiyati mengambil jalan tengah, menyokong hak Puteri bersuara tentang kegusaran rakyat serta ahli parti terhadap Presiden tetapi sebagai 'Sayap termuda' mengelak dari mendesak pengunduran Presiden.

Namun paling mengejutkan semua pihak, terutama PMO, YB Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda menyambut dengan lantang seruan TSMY, sehingga di penghujung ucapannya, menyemarakkan perwakilan Pemuda agar sebulat suara bangun melaungkan Hidup Melayu dan Undur Najib! Perwakilan Pemuda yang berucap pula setiap seorang bertalu-talu mendesak pengunduram DS Najib, kecuali perwakilan Pemuda Pahang yang keluar dewan, mengecualikan diri dari seruan Undur Najib tersebut sebagai tanda hormat kepada pemimpin senegeri.

5: Mesyuarat tergempar Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) dipanggil pada malam 9 Disember, menyusul Mesyuarat 3 Sayap. Selesai Mesyuarat MKT sekitar jam 1 pagi, sebelum berita rasmi tersebar melalui media masa, ia kongsi melalui media sosial ke seluruh negara bahawa:
a: TSMY dipecat dari parti atas sebab melanggar disiplin dengan mengabaikan tugasnya menyokong Presiden malah menimbulkan perpecahan dengan seruannya agar DS Najib berundur.
b: DS Shafie Apdal dan YB Khairy Jamaluddin kedua-duanya digantung keahlian selama tiga tahun, sekaligus juga mengecualikan mereka dari Pemilihan UMNO yang bakal berlangsung dalam 2 tahun lagi.
c: Tindakan akan diambil juga ke atas semua yang bersuara menyokong seruan TSMY sejurus selesai PAU2015.
d: DS Zahid Hamidi diumumkan memangku jawatan Timbalan Presiden parti, suatu tindakan yang tiada peruntukannya dalam perlembagaan UMNO dan tak pernah dilakukan dalam sejarahnya. Saudara Azwan Harun pula diumumkan memangku jawatan Ketua Pemuda UMNO.

6: Pada pagi 10 Disember, sebelum Ucapan Presiden membuka Mesyuarat induk PAU2015, media melaporkan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi meluahkan rasa kecewanya terhadap keputusan MKT memecat TSMY dan menggantung DS Shafie Apdal serta YB Khairy Jamaluddin. Beliau khususnya memberi penekanan pergantungan menantunya YB Khairy sebagai suatu kezaliman ke atas seorang anak muda harapan parti dan negara.

Para penganalisa politik yang sempat dipetik berpandangan ini petanda penarikan sokongan blok Tun Abdullah Badawi dari DS Najib. Ura-ura juga timbul yang segolongan besar para pemimpin veteran UMNO tidak akan hadir ke PAU2015 sebagai tanda protes terhadap keputusan MKT.  Ada juga para perwakilan yang ditemu-bual membuat pemerhatian yang kelihatan anggota polis kelihatan lebih ramai hadir di sekitar PAU2015, dengan lori-lori FRU juga kelihatan di luar Bangunan UMNO, Putra World Trade Centre (PWTC).

7: Ahli-ahli MKT yang tiba dan menuju ke Dewan Merdeka di mana PAU2015 bakal bermula dikerumuni ahli-ahli serta pemerhati UMNO yang melontarkan pelbagai kata kesat, cabaran serta menunjukkan kemarahan mereka terhadap keputusan mereka. Pergaduhan juga tercetus di beberapa lokasi, termasuk di cafe Riverside, di mana para penyokong tegar DS Najib dan TSMY bertembung. Pihak Polis mula membuat penangkapan bagi mengamankan keadaan dan Restoran Nagas di mana insiden jerit-menjerit berlaku di arah tutup sementara.

8: Presiden UMNO, DS Najib tiba-tiba timbul di belakang pentas Dewan Merdeka setelah majoriti ahli MKT tiba. Rupa-rupanya beliau telah menyusup masuk bersama DS Rosmah di awal pagi dan bersembunyi di bilik menunggu belakang pentas tersebut. Mesyuarat Agung segera dimulakan walaupun ada perwakilan yang masih dalam perjalanan ke dewan memikirkan masih awal kerana DS Najib tidak diisytihar tiba seperti biasa diiringi barisan hormat 3 Sayap dan sebagainya. Semua yang menunggu DS Najib di luar tergesa-gesa ke dewan.

9: Makanya, apabila DS Najib memulakan ucaptamanya, keadaan di Dewan Merdeka masih belum tenang. Ramai ahli MKT serta perwakilan masih terasa pedih tohmahan dari ahli-ahli yang menjerit di luar. Perwakilan yang masih lagi dalam proses masuk ke dewan juga mengganggu-gugat suasana sehingga perhatian terhadap ucapan Presiden ternyata terjejas, sehinggakan DS Najib tetiba terpaksa berhenti berucap sejenak.

Sekitar seminit selepas beliau berhenti becakap, keadaan dewan masih belum tenang, tetiba terdengar jeritan lantang dari balkoni atau anjung tingkat atas dewan,"Woi, duduklah semua! Diam! Janganlah biadap dekat Presiden"

10: Jeritan tersebut ternyata dari mulut Ketua Bahagian Sungai Besar, Jamal Sekinchan. Jeritan tersebut segera disambut laungan boo dari ramai para perwakilan terdekat, termasuklah dari Segamat, Semporna, Tampin yang duduk berdekatan dengan perwakilan Sungai Besar. Bermulalah pula kejadian tolak-menolak yang tersebar ke seluruh kawasan balkoni yang padat dengaj perwakilan, sesetengahnya masih sedang berjalan mencari kerusi mereka, sehingga akhirnya berlaku sesuatu yang amat tidak diingini...

Seorang perwakilan yang tidak jelas dari mana, cuma dikenali Puteri UMNO kerana memakai baju kurung 'pink' Puteri, hasil dari kejadian tolak-menolak, terjatuh dari balkoni atas menimpa perwakilan yang di bawah. Kejadian hanya menggemparkan perwakilan yang melihat dari bawah, sementara tolak-menolak bertukar menjadi tumbuk-menumbuk di balkoni.

11: Tiba-tiba seorang dari barisan perwakilan G10 Pemuda yang duduk di barisan hadapan bangun, menuding jari ke Presiden yang masih tercegat di podium pentas dewan dan berkata,"Tengok tu, pirahla lembap punya Presiden, saudari Puteri dah jatuh cedera pun boleh tercegat diam lagi! UNDURLAH NAJIB!" Jeritannya mula disambut perwakilan G10 Pemuda bersama sesetengah perwakilan induk yang melaung bertalu-talu,"Undur Najib! Undur Najib!"

Laungan tersebut tidak lama berterusan tapi kerana ia kemudian disambut jerit-menjerit dan tolak-menolak dari perwakilan yang masih setia dengan Presuden. Tumbuk-menumbuk kemudian merebak ke lantai utama Dewan Merdeka. Ada para perwakilan yang menyatakan kemudian bahawa melihat walau DS Najib masih tercegat, kelu di podium, DS Zahid Hamidi, Naib Presiden, DS Hishamuddin dan Setiausaha Agung Datuk Tengku Adnan Mansor kelihatan ligat berbincang di pentas, berakhir dengan DS Zahid bangun dan seolah-olah memberi isyarat.

12: Datuk Tengku Adnan pula bingkas bangun menghampiri Pengerusi Tetap dan membisikkan sesuatu kepadanya. Pengerusi Tetap, TS Badruddin Amiruldin bersuara akhirnya dari pentas mengisytiharkan,"Bertenang-bertenang para perwakilan sekelian, Perhimpunan Agung ini ditangguhkan sementara untuk kita kembali tenang. Ahli MKT dan perwakilan dijemput beredar dari dewan dengan tenang. Pihak Polis akan hadir juga tak lama lagi untuk membantu menenangkan keadaan." Beliau terpaksa mengulang-ulang beberapa kali... tetapi...

13: Para perwakilan yang pertama keluar dewan terkejut mendapati kejadian tolak-menolak, tumbuk-menumbuk dan huru-hara telah menular ke luar dewan! Rupa-rupanya kejadian di dewan yang tayangkan secara langsung ke seluruh PWTC telah mencetuskan pelbagai kejadian juga di luar dan anggota Polis yang ada kelihatan terdesak mengamankan keadaan, sehinggalah anggota FRU merempuh masuk, menggunakan teknik-teknik mengawal rusuhan untuk mengamankan keadaan di sekitar PWTC!

14: Ahli-ahli MKT diiring sebaik boleh ke Tingkat 38 Menara Dato Onn oleh para-para pegawai peribadi mereka. Dalam perjalanan, mereka menerima tohmahan perwakilan dan ada yang tercedera hasil balingan botol air mineral ke arah mereka. DS Rosmah pula telah diiring Polis terus ke kediaman peribadi keluarga Perdana Menteri di Taman Duta. Adalah dikatakan yang DS Rosmah asalnya ingin menyertai MKT ke Bangunan UMNO tetapi dihalang Polis. Beliau hanya dapat mengarahkan agar tidak dihantar ke Seri Perdana, Putrajaya, tetapi ke Taman Duta sahaja.

15: Keesokan harinya, PWTC dikelilingi Polis dan hanya para Perwakilan serta mereka yang bertugas seperti pihak media, pengusaha restoran, pegawai-pegawai Bangunan UMNO serta PWTC, dibenarkan. Kebanyakan perwakilan tetap setia hadir dan dewan berdengung dengan seribu tandatanya melihat barisan MKT sudah sedia hadir di pentas kecuali DS Najib yang jelas tidak hadir. DS Rosmah juga bukan di kalangan pemerhati. Mesyuarat Agung bermula dengan pembentangan usul tergempar oleh Naib Presiden, DS Hishamuddin Tun Hussein.

16: DS Hishamuddin memulakan pembentangannya dengan penuh hiba, menyatakan bagaimana kejadian pada hari sebelumnya sebagai titik hitam sejarah UMNO, dengan ramai yang cedera, namun syukur tiada yang terkorban. Hibanya menyaingi perasaannya sewaktu insiden MH370 dan MH17 berlaku. Beliau kemudian mengusulkan untuk persetujuan perwakilan, perubahan kepimpinan UMNO yang sudah pun mendapat sokongan MKT, untuk memperbaiki keadaan parti dan negara.

17: MKT sebulat suara mengusulkan agar:
a: DS Najib dibenarkan bersara dari jawatan Presiden parti serta Ketua Bahagian Pekan, sekaligus meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Pekan. Beliau malah sudah pun pergi bercuti ke luar negara.
b: DS Zahid Hamidi dilantik sebagai Pemangku Presiden parti sementara DS Hishamuddin dilantik memangku jawatan Timbalan Presuden parti bagi tempoh 3 tahun.
c: DS Shafie Apdal dan YB Khairy Jamaluddin dimaafkan atas kesalahannya tempohari dan kembali ke jawatan-jawatan mereka sebelumnya, yakni Naib Presiden serta Ketua Pemuda.
d: TSMY dimaafkan dan dihidupkan semula keahliannya, namun beliau gugur dari jawatan Timbalan Presiden tetapi kekal di jawatan Ketua Bahagian Pagoh. Beliau juga akan dijemput mempengerusikan Lembaga Disiplin parti dengan mandat khas memperjuangkan ketelusan dalam kepimpinan negara.
e: Bagi mengukuhkan kepimpinan teratas parti dengan pengalaman, Tengku Razaleigh Hamzah diangkat ke jawatan pemangku Naib Presiden parti bagi tempoh tiga tahun.
f: Semua jawatan lain parti kekal bersama penjawat, baik dari peringkat MKT, 3 Sayap mahupun Bahagian terus ke Cawangan selama 3 tahun untuk membolehkab parti memfokus terhadap pemulihan.
Perwakilan PAU2015 meluluskan usul tergempar tersebut dengan sebulat suara. Sejurus Pengerusi Tetap mengisytiharkan usul lulus sebulat suara, laungan-laungan Hidup Melayu, Hidup UMNO dan Hidup Zahid berkumandang.

----

Berikut senario yang mungkin berlaku di mana DS Najib berundur dari kedudukannya dan negara diberi peluang kembali ke haluan yang lebih perihatin tentang keperluan rakyat sementara salah-laku seperti 1MDB dapat mula diselesaikan dengan telus. Ia juga senario yang tidak melibatkan Tun Dr M sebagai penggerak utama ataupun sokongan! Niat blogger ini semata-mata bagi memberi gambaran yang masih ada harapan keadaan kepimpinan diperbetulkan. Kita sebagai rakyat haruslah menaruh harapan dan terus berdoa... berdoa Undur Najib dengan aman...

Ikhlas, @AMUbaidahS

Tangential Malay Search Results