Friday, October 30, 2020

Kerajaan Disyorkan Kaji Semula Semua Kontrak Bekalan Peralatan Ketenteraan Dari Negara Perancis

Penulis merasa gusar apabila dalam kerancakan perbalahan tentang dasar anti-Islam Presiden Perancis, akhirnya yang dilapor media perdana Malaysia adalah komen sosial-media oleh DS Najib Razak mengenai kritikan Tun Dr Mahathir terhadap Presiden Macron tersebut. Malah lazim mengetahui hubungan intim DS Najib dengan pihak pembekal peralatan ketenteraan Perancis sehingga hasilnya adalah kontrak kapal-selam Scorpene yang dibeli sewaktu beliau Menteri Pertahanan. 

Namun begitu, lebih merunsingkan penulis ini lagi adalah terlihat seolah-olah tiada tindakan jelas kerajaan bertindak-balas terhadap kesangsian yang timbul apabila kerajaan Perancis berlaku begitu anti-Islam. Ini seharusnya membawa kepada kesedaran risiko besar berpunca dari terlalu banyak peralatan kritikal pertahanan negara dibekalkan dan masih diselenggarakan oleh syarikat-syarikat Perancis!

Perancis bukan sekadar membekalkan kapal selam Scorpene ke Malaysia, malah kesemua kapal Frigate kelas KD Maharaja Lela dibekalkan teknologinya oleh syarikat Perancis dan masih didukung penyelenggaraannya oleh pembekal-pembekal negara tersebut! Malah, menjadi bahan kritikan utama yang pembuatan kapal-kapal tersebut oleh anak-anak syarikat Boustead Holdings milik majoriti Lembaga Tabung Angkatan Tentera terlalu kurang unsur perkongsian teknologinya Ini bermaksud TLDM masih terpaksa bergantung kepada bantuan kepakaran Perancis!

Pembekalan ketenteraan Perancis tidak terhad kepada TLDM sahaja, contohnya, TUDM masih menggunakan kapalterbang Airbus A400M yang dibekalkan syarikat Airbus Defence and Space yang mana pemegang saham terbesarnya Perancis (11.1%). Penulis difahamkan malah kapalterbang-kapalterbang tersebut masih diselenggarakan oleh anak syarikat Airbus di Malaysia. Seharusnya amatlah mencemaskan apabila peralatan ketenteraan negara kita masih bergantung kesiap-sediaannya kepada pakar-pakar runding dari sebuah negara yang Presidennya sedia memaparkan dirinya sebagai anti-Islam.

Daripada begitu teruja dengan komen-komen sinis seorang bekas Perdana Menteri yang sedang menanti hukuman rasuah sekaligus merupakan rakan dagang rapat pembekalan peralatan tentera dari Perancis, saya lebih sedia mengamati kritikan Tun Dr Mahathir. Saya oleh itu mengesyorkan pihak Kerajaan Malaysia untuk menilai kembali seluruh hubungan ketenteraan terutama bekalan peralatan dari Perancis, baik apa-apa pergantungan sedia ada terhadap kapal-kapal selam Scorpene, kapal-kapal Frigate, kapalterbang Airbus A400M mahupun apa-apa rencana untuk masa hadapan, yang berkait dengan Perancis wajar setidak-tidaknya ditangguhkan kalau tidak dibatalkan sama-sekali. 

Kerana sesungguhnya, bukan sekadar aneh tetapi membahayakan jika sebuah negara majoriti dan berkepimpinan Islam seperti Malaysia boleh terus yakin akan keikhlasan rakan kongsi ketenteraan dari negara yang dipimpin seorang yang anti-Islam seperti Macron sekarang. 

Ikhlas,
Akhramsyah M U Sanusi
Mantan Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Tabung Angkatan Tentera

Thursday, October 29, 2020

Bajet Keperluan Rakyat Dilanda Covid19

Versi 2: 12 Tengahari, Jumaat, 30 Oktober 2020

Titah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong (DYMM YDPA) pada 28 Oktober 2020 jelas menekankan perlunya Belanjawan yang menyasarkan kesejahteraan dan kelangsungan hidup Rakyat yang kini tersiksa kegawatan Covid19. Buat pertama kalinya, bajet yang bakal dibentangkan diTitahkan bukan berpaksikan Pembangunan, tetapi untuk memastikan kesinambungan perjalanan kerajaan. Ini kerana, lebih dari bila-bila masa dalam sejarah, kerajaan kini wajib memayungi seluruh Rakyat agar terlindung dari ancaman yang sudah pun meragut nyawa dan memporak-perandakan masyarakat.

Sesuai dengan itu, kita melihat tindak-balas pelbagai pihak, sudah tentu dari pihak Pembangkang, tetapi juga dari wakil-wakil rakyat Perikatan Nasional sendiri, sejurus ditularkan Kenyataan Media Istana Negara tersebut, menyambut Titah Tuanku. Semua seia-sekata menuntut ketelusan dan kewibawaan dari Kerajaan PN bagi memastikan Bajet 2021 benar-benar dibentangkan berpaksikan kesejahteraan dan kelangsungan hidup Rakyat, walaupun dalam konteks pemulihan ekonomi.

Sesuai dengan itu, penulis ingin memberi beberapa cadangan bagi dipertimbangkan oleh semua pihak, terutama Rakyat Malaysia sendiri, akan kesesuaian disertakan dalam Bajet 2021. Memandangkan kepentingan Bajet 2021 ini, wajar segala pemikiran yang seiring dengan Titah Baginda diambil kira. Apa-apa ide yang menyumbang kepada Kelangsungan Hidup Rakyat baik dari segi memelihara nyawa mahupun memulihkan perjalanan cara hidup dalam norma baru bukanlah perkara remeh yang boleh diketepikan sahaja kerana ia ‘terlambat dicadangkan’. Jika bernilai, ia wajib diguna-pakai.

1. Ide-Ide Berlandaskan Kesihatan

1.1. Diwujudkan dana untuk meningkatkan pemeriksaan Covid19 agar ia lebih meleluasa dan tidak terhad kepada yang diwajibkan melalui ‘contact tracing’ atau yang mampu membiayai pemeriksaan sendiri sahaja. Ini termasuk bukan sekadar pengambilan sampel untuk diuji tetapi pembangunan infrastruktur tempatan seperti makmal pemeriksaan serta logistik seperti bekalan bahan-bahan kimia yang diperlukan, selain kumpulan pekerja makmal yang mencukupi bagi menampung peningkatan kadar pemeriksaan dari:

1.1.1. Mengembangkan kumpulan penjawat awam yang wajib disaring kepada yang banyak terdedah kepada kumpulan besar masyarakat seperti guru-guru sekolah atau yang bertugas menjaga kebajikan masyarakat yang paling mudah dimangsai Covid19 seperti orang-orang tua.

1.1.2. Semua pekerja yang purata pergerakkan antara kawasan melebihi purata 100km sehari dalam masa seminggu, seperti pemandu-pemandu lori, juruterbang dan peramugari/a pesawat penerbangan dan lain-lain.

1.1.3. Saringan rambang ke atas lokasi-lokasi kepadatan tinggi yang dikenal-pasti berlandaskan pengalaman penularan Covid19 seperti di Program-Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Penjara-Penjara.

1.1.4. Semua GLC dan GLIC serta anak-anak syarikat, walau yang mempunyai pegangan minoriti kerajaan, wajib melaksanakan skim pemeriksaan Covid19 bagi seluruh kakitangan secara berkala meliputi sekurang-kurangnya peratusan minima yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia. Ini tidak termasuk kakitangan berisiko tinggi seperti contohnya kakitangan perubatan di hospital-hospital milik GLC atau GLIC yang wajib disaring berkala berdasarkan tugas-tugas mereka.

1.1.5. Insentif kewangan diberikan kepada semua syarikat swasta yang menawarkan skim pemeriksaan atau saringan Covid19 berlandaskan jumlah yang dibelanjakan dan peratusan kakitangan yang menjalankan pemeriksaan tersebut.

1.2. Manaik-tarafkan skala perjawatan semua penjawat awam yang dikategorikan sebagai ‘front-liners’ di lapangan, yakni doktor, jururawat, polis, bomba dan lain-lain lagi selain yang berkategori pentadbir yang tidak terdedah secara langsung.

1.3. Menyediakan insentif khas bagi menggalakkan sukarelawan dari kalangan ‘front-liners’ untuk berkhidmat sementara diperlukan di kawasan-kawasan gawat Covid19 seperti di Lahad Datu Tawau pada masa ini. Insentif yang sama juga dibuka bagi profesional perubatan yang bukan penjawat awam untuk juga berkhidmat sementara di kawasan-kawasan tersebut.

1.4. Dana strategik pengagihan vaksin perlu diwujudkan bagi penyediaan proses penerimaan, pemprosesan, pengagihan dan aplikasi vaksin kepada Rakyat Malaysia. Ia haruslah merangkumi bukan sekadar pembelian dan pembotolan vaksin tetapi juga peralat perubatan seperti picagari atau penyedut sesuai bagi vaksin tersebut.

1.5. Dana kecemasan juga harus disediakan bagi memberi keupayaan Kementerian Kesihatan Malaysis dengan segera menaik-tarafkan atau mendirikan pusat rawatan bagi menangani kejadian peningkatan Covid19 secara mendadak melampaui kemampuan sedia-ada di kawasan berkenaan, seperti berlakunya di Lahad Datu tempohari. 

2. Ide-Ide Meringankan Beban Kewangan Masyarakat

2.1. Bank Negara Malaysia diarahkan untuk mengkaji wajarnya menurunkan kadar OPR yang menjadi sebahagian penentu kos pembiayaan hutang di Malaysia dengan menyasar OPR mencapai kadar 0.5% menjelang akhir 2021 berbanding OPR 1.75% seperti pada masa penulisan.

2.1.1. Bank Negara juga diarahkan memulakan kajian melaksanakan tahap OPR -ve bagi sektor kewangan Malaysia untuk dilaporkan termasuk potensi perlaksanaan sekiranya perlu jjika ekonomi terus gawat sepanjang 2021.

2.2. Diisytiharkan ‘tax holiday’ atau percutian cukai bagi seluruh Rakyat Malaysia bagi tahun 2020 dan separuh tahun 2021.

2.3. Penangguhan pembayaran selama 18 bulan bagi cukai yang masih belum berbayar untuk tahun 2019 diberikan kepada semua keluarga bagi RM50,000 pertama jumlah cukai pendapatan tersebut.

2.4. Pelupusan semua penalti kelewatan pembayaran cukai dan saman kerajaan serta apa-apa bayaran-bayaran ke GLC-GLC dari Mac 2020 sehingga akhir 2021, seperti:

2.4.1. Cukai Tanah dan Taksiran 
2.4.2. Cukai Pendapatan
2.4.3. Saman Trafik
2.4.4. Bill Elektrik, Telefon dan Air

2.5. Penyambungan lesen percuma dan tanpa permohonan bagi semua lesen perniagaan kecil, pemandu kenderaan, dan lain-lain bemula suku-tahun ke empat tahun 2020 sehingga akhir tahun 2021. Mana-mana lesen demikian yang habis tempoh dan belum dihidupkan semula sejak bulan Mac 2020 juga dihidupkan semula secara percuma dan tanpa permohonan. Para pemegang lesen yang melanggar undang-undang sahaja perlu memohon semula.

2.6. Kerajaan memperkenalkan semula gred Petrol U92 dengan subsidi minima 30sen sekaligus membenarkan syarikat-syarikat minyak menjual gred-gred Petrol lain pada harga terbuka, sekaligus meringankan beban Rakyat yang paling memerlukan sambil mengimbangi kos subsidi melalui cukai penjualan Petrol gred lebih tinggi.

2.7. Kadar SST dikurangkan ke 0% bagi tahun 2021 dan akan dikaji semula bagi tahun-tahun berikutnya. Seiring itu, perlaksanaaan cukai digital untuk semua syarikat tempatan untuk transaksi atas talian juga ditangguhkan.

3. Ide-Ide Memulihkan Perjalanan Cara Hidup

3.1. Kerajaan mengiktiraf yang pecahan masyarakat mengikut pendapatan berlandaskan kategori-kategori B40, M40 dan U20 sudah tidak sesuai diguna-pakai pada masa ini. Oleh itu, pecahan ditakrif semula sebagai B60, M30 dan U10, di mana semua kemudahan yang dahulunya dinikmati oleh golongan B40 kini terbuka kepada B60, yakni 60% dari rakyat paling kurang pendapatan. Manfaat kepada M40 pula kini dibuka kepada M30, yakni yang antara berpendapatan menengah yang lebih kecil.

3.2. Kerajaan akan melancarkan Kad Sara Hidup bagi semua pemohon dari golongan B60 untuk membantu pembelian barang-barang asas seperti beras, telur, susu, sabun dan topeng muka. Barang-barang asas tersebut hanya boleh dibeli dari kedai-kedai yang dibenarkan dengan harga yang terkawal.

3.3. Kesemua sekolah di luar Zon Merah akan dibuka sejurus perlaksanaan penambahan pemeriksaan Covid19 di sekolah-sekolah tersebut. Selain itu, setiap anak sekolah dari keluarga B60 yang membuktikan kehadiran lebih 80% sebulan melayakkan keluarga kepada penambahan elaun melalui Kad Sara Hidup.

3.3.1. Bagi mengurangkan risiko penyebaran Covid19, peraturan berkaitan semua aktiviti perniagaan di sekolah-sekolah akan diperketatkan. Contohnya, setiap perniagaan seperti Kantin Sekolah, Kedai Buku atau Koperasi perlu melalui proses kelayakkan semula sebelum dibenarkan beroperasi. Apa-apa perlanggaran peraturan kesihatan oleh pengusaha akan membawa pembatalan kontrek serta para pengarah dan pemilik syarikat disenarai-hitamkan dari semua kontrek kerajaan.

3.4. Barang-barangan tersebut akan ditambahkan dalam senarai Barangan Terkawal di bawah Akta Kawalan Bekalan dan Akta Kawalan Harga Dan Anti-Pencatutan, atas sebab ia sudah menjadi keperluan asas untuk norma baru, termasuk:

3.4.1. Sabun Ketul
3.4.2. Sanitiser
3.4.3. Topeng Muka
3.4.4. Sarung Tangan  

4. Ide-Ide Pengurangan Kos Kerajaan Bagi Disalurkan Ke Perbelanjaan Lain

4.1. Jumlah Kementerian dikurangkan dengan penggabungan 8 Kementerian, meninggalkan cuma  22 Kementerian sekaligus mengurangkan jawatan Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

4.2. Gaji dan Elaun anggota Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri dipotong separuh dan jumlah perjawatan pegawai juga dikurangkan. Jawatan Setiausaha Politik dimansuhkan sesuai dengan Titah Baginda tentang  pengurangan aktiviti politik.

4.3. Semua penjawat awam berpangkat JUSA ke atas ditawarkan peluang bersara awal  dengan sasaran memansuhkan 10% dari semua jawatan peringkat tertinggi kerajaan kecuali di sektor Kesihatan, Keselamatan Awam dan Pertahanan.

4.4. Jabatan dan Agensi Kerajaan yang sesuai akan digabung, contohnya, Teraju akan diserap ke dalam MARA sebagai salah satu jabatan di bawah Bahagian Pembangunan Usahawan MARA.

4.5. Agensi-agensi Latihan seperti MARA dan HRDF diberi mandate untuk mempertingkatkan program-program Latihan Atas Talian bagi anggota masyarakat yang hilang pekerjaan dengan syarat pentauliahan haruslah menurut piawaian yang berwajib seperti Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) atau Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Latihan Atas Talian boleh ditawarkan percuma dan tanpa memerlukan pemberian elaun kepada pelatih.

Ini cumalah sekadar permulaan lontaran ide penambah-baikan kepada Bajet 2021 dari seorang penulis yang serba kekurangan. Adalah harapan penulis yang ide-ide ini serta banyak lagi yang jauh lebih bernas dapat diajukan ke pihak Kerajaan dengan segera demi menyahut Titah Baginda Tuanku sekaligus aspirasi seluruh Rakyat Malaysia. #KitaJagaKita

NB: Dokumen ini adalah dokumen hidup yang akan diolah dengan penambahan serta perincian ide. Penulis akan berusaha mengelak dari pengecualian ide yang sudah dikongsi tanpa catatan nota atau penjelasan.

Ikhlas,
Akhramsyah M U Sanusi

Sumbangan ide juga dari:
Fyzul Adzwan Mustapha Kamal

Rekod Versi:
Versi 1: 11.45 Malam, Khamis, 29 Oktober 2020
Versi 2: 12 Tengahari, Jumaat, 30 Oktober 2020

Tangential Malay Search Results