Saturday, August 29, 2020

Kita Sudah Menang...

Kita yang penyokong Calon Pokok, Amir Khusyairi, sudah menang. Sebelum kita tahu keputusan kita tahu kita sudah menang. Bagi kita-kita yang dahulunya Bersatu, kemenangan bermula 3 minggu sudah, dan kemenangan dikecapi berganda-ganda sehinggalah ambang selesainya mengundi di PRK Slim.

Kita menang dengan terpilihnya Calon yang tepat, dengan talian utuh ke penduduk Slim melalui ibunya, sekaligus dari segi keterampilan, kelayakan serta keupayaan pada usia cukup muda sehinggakan ramai teruja. Kita menang memilihnya dari pilihan sekurang-kurangnya 4 Calon yang ada kesemua ada kekuatan sendiri, termasuklah mendapat sokongan Calon pilihan Kedua sebagai Wakil Calon.

Kita menang dengan persediaan jentera dan pergerakkan dari sejurus sebelum penamaan calon sehingga kini, yang diakui kesemua penggerak pasca-Bersatu, merupakan usaha yang jauh lebih mantap dari waktu PRK-PRK sebelumnya. Apa-apa kelemahan yang memincangkan kita pada PRK Semenyih dan Tanjung Piai terutama sekali Alhamdulillah sebehagian besarnya dielakkan pada kali ini.

Kita menang dengan semakin bertambahnya kemunculan kawan-kawan Bersatu dari seluruh negara sepanjang perjalanan kempen, sehinggakan tiada tugas yang tak terlaksana. Hadirnya kita semua juga sukarela, membayar kos perjalanan dan belanja berkempen sendiri, kembali berkorban untuk perjuangan, kembali ke sifat lama yang seolah-olah dilupakan oleh warga Bersatu pada PRK-PRK lepas.

Kita juga menang dengan mempereratkan serta menambah susunan persahabatan yang ada, bukan sahaja dari kekawan lama di Pakatan Harapan, tetapi juga dari kalangan pemimpin PAS yang jelas berkongsi kerunsingan mereka apabila melihat pemimpin-pemimpin mereka bersekongkol dengan penyangak. Kesemua, baik PH, mahupun PAS, kini sedar, kita yang bersama Tun M menolak PNkhianat mandat rakyat.

Kita menang sekali lagi apabila Pokok sebagai proksi Pejuang, lebih terserlah dari pelbagai aspek berbanding BN di PRK Slim. Inilah mimpi ngeri bagi UM NO, yang kita tak perlu suatu parti yang formal pun untuk menentang mereka. Ketumbukan Pokok di PRK Slim bukan disatukan melalui parti tetapi suatu Prinsip Perjuangan, yang mudah dibahasakan sebagai Perjuangan Tun, tetapi bila dihayati, ia berlandaskan kebenaran.

Kita sudah menang Alhamdulillah... apa pun keputusan akhirnya, kita sudah menang... namun Perjuangan Belum Selesai...

Ikhlas,
Akhramsyah Muammar Ubaidah Bin Sanusi
Mantan Ahli Bersatu #007

Tangential Malay Search Results