Alhamdulillah, tuduhan terhadap penulisan jurublog kononnya pertukaran masa serta tempat mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO adalah 'mengarut' terbukti tidak. Mesyuarat MKT berlangsung di Parlimen semalam, dan apa yang disyaki berlaku dilaksanakan, ada yang 'separuh masak', ada seperti dirisaukan. Risau sangat MKT pimpinan Najib akan tanggapan orang tentang pertukaran masa dan tempat, siap menjadi bahan hebahan media lagi penjelasan kenapa dilaksanakan di parlimen... tapi itu alasan sahaja...
Apa yang MKT putuskan seperti dijangkakan?
1 - TS Muhyiddin Yassin (TSMY) dihalang merasmikan 3 Sayap serentak seperti tradisinya, kononnya atas permintaan ketiga-tiga Ketua Sayap. Alasan ia permintaan dari Ketua Sayap hanya munasabah jika dari Ketua Wanita, DS Shahrizat Jalil yang nyawa politiknya serta keselamatan suaminya dari dipenjarakan hasil skandal NFC bergantung juga kepada ihsan DS Najib. Tetapi YB-YB Khairy Jamaluddin (KJ) dan Mas Ermiyati pasti tiada halangan mendengar ucapan perasmian TSMY, terutama Pemuda yang ramai simpati terhadap beliau.
Sebenarnya keputusan ini akan memberi cabaran baru yang juga peluang kepada KJ khususnya - beliau seringkali digambarkan sebagai 'lalang' tempohari kerana kelihatan mendampingi TSMY tetapi pada masa sama sedia terus berkhidmat dan akur kepada Presiden, terutama di dalam Kabinet 1MDB....
2 - Setiausaha Agung UMNO, YB Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, telah mengumumkan garis-panduan baru sewaktu Perhimpunan Agung UMNO tahun ini (PAU2015), di mana persidang dilangsungkan secara tertutup, tanpa media mahupun tayangan langsung ke TV-TV sekitar PWTC seperti lazimnya, kecuali untuk ucapan Presiden. Sebaliknya, 2 Naib Presiden, DS Zahid Hamidi dan DS Hishamuddin akan membuat sidang media di hujung setiap hari persidangan... DS Shafie Apdal dikecualikan! Ini kita komen lagi kemudian...
Kemudian ada juga keputusan separuh masak...
3 - Datuk Hamidah, Ketua Wanita Gopeng dan mantan Ketua Penerangan Wanita Kebangsaan serta mantan Exco Perak dipecat! Dipaparkan imej menunjukkan beliau pernah diberi surat tunjuk sebab menjemput Tun Dr M berucap di Ipoh, mungkin sekala untuk mengkritik DS tentang skandal 1MDB. Kenapa 'Separuh Masak'? Melihat surat tunjuk-sebab tersebut, kelihatan lama, bulan Mei dikeluarkan?! Kalau betul salah, kenapa harus menunggu sehingga bulan November untuk dipecat?
![]() |
| Surat Tunjuk Sebab Ke Datuk Hamidah Pada Bulan Mei 2015 |
Jurublog mengesyaki Datuk Hamidah bukanlah tokoh parti yang dirancang pemecatannya pada Mesyuarat MKT Misteri ini. Peluang terlalu keemasan telah terbuka dengan ketidak-hadiran TSMY dan DS Shafie Apdal, mahupun beberapa orang Menteri Besar yang bersimpati terhadap TSMY, DS Mukhriz Mahathir, DS Zambry Kadir serta DS Khaled Noordin. Sebuah perbincangan tergesa-gesa di antara DS Najib dan orang-orang kanannya seperti di imej bawah sejurus sebelum mesyuarat MKT memberi gambaran ada perubahan rancangan...
![]() |
| Perbincangan Sulit Sebelum Mesyuarat MKT |
Maka, jurublog mengesyaki pemecatan Datuk Hamidah hanyalah menggantikan rencana awal memecat seorang tokoh lebih tinggi jawatannya dalam parti. Siapa? Wallahualam... pembaca sendiri boleh membuat andaian. Walaupun kita simpati dan hormat Datuk Hamidah yang juga bukan calang-calang orangnya, beliau wirawati UMNO yang diiktiraf mantan MB Perak, TS Tajol Rosli sebagai penggerak usaha yang berjaya menjatuhkan kerajaan PR Perak dan mengembalikan kerajaan BN di sana.
Tetapi... rasanya beliau mangsa perubahan sasaran ketagihan rejim DS Najib menunjukkan kuasa dengan memecat!
Ada kawan-kawan yanb setia mempertahankan parti tertanya-tanya apa yang patut di'spin' sebagai sebab Datuk Hamidah dipecat. Jawapan jurublog:
"Tak payah spin, ikhlas sahaja cakap Datuk Hamidah dipecat sebab menjemput Tun Dr M berucap di mana beliau mengkritik DS Najib tentang isu 1MDB. Mengkritik DS Najib tentang hal 1MDB sekarang sudah menjadi dosa besar parti di mana sesiapa pun boleh dipecat kerananya. TSMY pun dah dibuang dari jawatan TPM sebab mengkritik tentang skandal 1MDB dan kini tak dibenarkan merasmikan 3 Sayap sebab risau beliau mengkritik lagi DS Najib ttg 1MDB. Tapi kalau nak pecat TSMY tak berani, kalau Datuk Hamidah takat Ketua Wanita Bahagian sahaja, beranilah nak pecat."
Pesanan peribadi jurublog ke Datuk Hamidah: "Datuk Midah syahid (politik) hari ni... tak perlu siksa macam kami yg masih belum syahid dan terkial-kial nak jawab kenapa masih dalam UMNO yg sudah bukan UMNO lagi. Semoga kita selamatkan UMNO dan menyambut kembalinya Datuk Midah ke UMNO nanti atau kita syahid bersama, insya Allah..."
#UndurNajib
Ikhlas, @AMUbaidahS

