Showing posts with label Rasuah. Show all posts
Showing posts with label Rasuah. Show all posts

Sunday, March 11, 2012

Macam Mana Nak Terbang Kalau Sayap Cacat

Dalam masa kehangatan pertandingan pemilihan UMNO 2008, Tan Sri Tunku Ahmad Rithaudeen telah mencadangkan agar sayap Pemuda dan Puteri UMNO dibubarkan kerana pada hemah beliau, kelemahan akibat rasuah pada UMNO berputik dari pertandingan jawatan kedua-dua sayap ini. Bidasan kembali yang sering jurublog dengari dari para perwakilan Pemuda pada masa itu adalah,"Kalau tak dak sayap, macam mana nak terbang?"

Alhamdulillah, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bakal berundur dari jawatan Menteri sejurus tamat tempoh senator beliau. Namun saya rasa kecewa yang beliau merasakan ini suatu kompromi yang adil bagi membolehkannya kekal sebagai Ketua Wanita UMNO. Mana boleh macam ni. Kedudukan beliau sekarang begitu cacat sekali sebagai pemimpin yang sedia menggunakan pentas parti serta kerajaan untuk mempertahankan kecacatan moral suaminya dalam pengendalian amanah dana RM250 Juta NFC.

Datuk Seri Shahrizat, sebagai seorang pemimpin yang antara paling kanan dalam parti, seharusnya sedia mengorbankan nyawa politiknya demi masa depan parti, bukan mencari jalan untuk terus hidup di tampuk kuasa sementara sayap Wanita parti terus tercacat sama nama baiknya atas kehadiran beliau yang berterusan sebagai Ketua! Kesediaan beliau melakukan demikianlah baru akan memulihkan balik nama baiknya sendiri dan membantu memperbaiki kredibiliti parti UMNO serta BN menjelang PRU13.

Datuk Seri Shahrizat tak perlu menenung jauh. Lihat sahaja sayap Pemuda yang masih lagi dibebani seorang Ketua perasuah. Walaupun KJ dan para penyokongnya kelihatan begitu giat memulihkan namanya, namun pemantauan terkini yang diarahkan oleh beliau sendiri menunjukkan ahli-ahli Pemuda pun masih sangsi dan kemungkinan besar akan memilih tokoh lain untuk memilih Pemuda di masa hadapan. Walau KJ berkorban untuk menjadi contoh dengan menyertai Wataniah sekalipun, ditertawakan sebagai 'main askar'!

Apatah lagi rakyat luar yang hauskan bukti tegar kredibiliti UMNO dan Barisan Nasional untuk memunahkan rasuah dari perjalanan kerja kerajaan?

Datuk Seri Shahrizat patut berundur juga dari semua jawatan parti demi masa depan sayap Wanita dan juga nama baik keluarganya sendiri. Mungkin dengan pengunduran beliau, ia akan memberi iktibar kepada penyokong kuatnya KJ juga untuk mengundur diri. Kerana sesungguhnya, kalau ada sayap pun, kiranya cacat, bukan sedar tak boleh terbang, berat nak diusung sayap kesini-sana, dan kiranya melarat, berpenyakit sehingga ke badan parti pula. 

Thursday, October 28, 2010

Apakah Kedudukan MAYC Menjelang Akhir Oktober? Masih Celaru...

Hari ini, kami dimaklumkan pihak ROY akan mengadakan mesyuarat untuk memutuskan pembatalan Mesyuarat Agung MAYC yang dilaksanakan oleh Tuan Syed Rahman Tuan Kuning pada 26 September 2010. Intipati keputusan rasmi yang bakal diwartakan tersebut kurang jelas pada masa ini, selain makluman yang telah diterima hasil temubual penyiasat ROY dengan para pembantah Mesyuarat Agung tersebut dari seluruh pelusuk Semenanjung Malaysia. Ini termasuk:
  1. Pengakuan pihak penyiasat yang bantahan diterima ROY tentang Mesyuarat Agung 26 September jauh lebih banyak dari yang diterima membantah Mesyuarat Agung 31 Julai. Begitu banyak bantahan yang diterima sehingga ROY tak dapat bertemu dengan semua pembantah, malah bantahan terus menerus diterima tanpa putus!

  2. Kerunsingan ROY yang sekiranya kedua-dua Mesyuarat Agung MAYC terbatal, maka ada risiko kuasa mentadbir MAYC akan direbut kembali oleh AJK TS Syed Hamid, atau lebih khusus lagi, oleh Tuan Syed Rahman. Malah, ada sekumpulan pemimpin MAYC, baru mahupun veteran, yang mengesyaki ini memang rencana Tuan Syed Rahman untuk melanjutkan cengkaman mautnya ke atas MAYC.

  3. Implikasi pembatalan Mesyuarat Agung 26 September adalah ia menjadi mercu tanda kegagalan muktamad TS Syed Hamid dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Presiden MAYC! Dahlah 5 tahun tak mampu melaksanakan Mesyuarat Agung, apabila dilaksanakan, hanya kerana terpaksa hasil ancaman Mesyuarat Agung 31 Julai dan kemudian, penuh kepincangan sehingga boleh terbatal!

Atas dasar perkara 3. di atas, ada juga para pemimpin MAYC yang merasakan tidak mungkin ROY berani bertindak membatalkan Mesyuarat Agung 26 September. Ini kerana, TS Syed Hamid tempohari dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, SPAD. Maka, sekiranya TS Syed Hamid terbukti tiada keupayaan mentadbir sebuah persatuan belia sekalipun, apakah mungkin beliau ada keupayaan memikul tanggungjawab memimpin SPAD!

TS Syed Hamid memang lazim diburu kontroversi, bukan sekadar di MAYC, tetapi juga dalam tempoh beliau beraksi sebagai seorang 'Menteri Kanan', terutama sekali pada zaman pentadbiran Pak Lah. Contohnya:

  1. Sebagai seorang Menteri Luar, beliau terlibat dalam keputusan membatalkan pembinaan 'Jambatan Bengkok' sebagai usaha menambat hati para pemimpin Singapura. Keputusan ini menimbulkan kemarahan oleh segenap lapisan masyarakat yang merasakan sebagai seorang anak kelahiran Pulau Pinang yang diberi tempat di Kota Tinggi, TS Syed Hamid seharusnya lebih menghargai budi dan aspirasi rakyat Johor.

  2. Usaha Malaysia mempertahankan hak atas Pulau Batu Putih di mahkamah antarabangsa, ICJ, juga mula terungkai pada zaman beliau sebagai Menteri Luar. Walaupun keputusan diturunkan sejurus selepas TS Syed Hamid meninggalkan jawatan tersebut, penggunaan gambar-gambar palsu yang membawa padah terhadap integriti para peguam Malaysia di mahkamah berlaku sewaktu TS Syed Hamid masih bertanggungjawab.

  3. Sebagai Menteri Dalam Negeri pula, TS Syed Hamid bertanggungjawab atas penyalah-gunaan kuasa ISA apabila memenjarakan seorang wartawan Sin Chew atas alasan 'menyelamatkan' yang dipenjarakan tersebut!

  4. Baru-baru ini, TS Syed Hamid dipanggil sebagai saksi perbicaraan kes rasuah Ketua Pengarah Imigresen untuk menyangkal tuduhan yang rasuah diambil semata-mata untuk mengisi tabung politik beliau! Mungkin inilah yang menyebabkan beliau begitu sensitif hingga sedia menudah sembarangan orang pemfitnah dan pembohong!

Kembali ke MAYC, harus dinyatakan di sini bahawa pelbagai persoalan yang timbul sekarang tentang Mesyuarat Agung 26 September hanyalah berbangkit kerana cara Mesyuarat Agung tersebut diuruskan. Para ahli kelab-kelab gabungan mungkin bersedia memaafkan kepincangan seperti Mesyuarat Agung tersebut dipanggil oleh suatu AJK yang tidak lagi sah, malah, tidak mencukupi kuorum, dsb. Tetapi yang paling tak boleh diterima adalah budaya pilih kasih oleh Tuan Syed Rahman.

Pada Mesyuarat Agung 31 Julai, kami yang hadir bertekad untuk hadir juga ke mana-mana Mesyuarat Agung yang mungkin menyusul dari malu-alahnya Tuan Syed Rahman. Namun selepas itu, ramai pemimpin kelab-kelab gabungan terkilan apabila melihat begitu banyak kelab gabungan tidak dijemput ke Mesyuarat Agung 26 September. Malah, kelab MAYC yang TS Syed Hamid menjadi ahli pun tak dijemput! Sebabnya? Sebab menyokong Mesyuarat Agung 31 Julai mungkin?

Ramai mengesyaki yang ini kerana Tuan Syed Rahman takut dipersoalkan tentang salah-laku pentadbiran selama lebih 5 tahun, terutama sekali di hadapan TS Syed Hamid. Ada kemungkinan TS Syed Hamid sendiri tidak perasan akan kelembapan pentadbiran Tuan Syed Rahman sehingga MAYC yang dahulunya gagah dengan lebih 900 kelab gabungan dan ratusan ribu ahli individu, kini tinggal segenggam lebih 300 kelab sahaja, itu pun atas usaha AJK Penaja pimpinan YB Suraya Yaacob.

Mungkin inilah sebabnya logo Harimau MAYC yang dicadangkan Tuan Syed Rahman untuk MAYC terbuang lidahnya! Alhamdulillah, kita mengembalikan lidah tersebut menjelang 31 Julai.

Niat saya dan teman-teman murni, untuk menyelamatkan MAYC. Oleh itu, kiranya ROY memutuskan samada mengesahkan mahupun membatalkan Mesyuarat Agung mana-mana pun, kami sedia terus menjalankan tanggungjawab. Kami dipilih memimpin MAYC bukan oleh ROY dan bukan oleh TS Syed Hamid. Kami dipilih oleh warga ahli MAYC sendiri. Masa depan MAYC tak patut dibiarkan bergantung kepada yang tersurat pada beberapa helai kertas...

Apabila bermesyuarat, jawatankuasa MAYC Kebangsaan 31 Julai menumpukan masa kepada aktiviti-aktiviti yang membina kemampuan ahli dan mengharumkan nama MAYC. Kami tidak sibuk memikirkan harta atau mengagihkan jawatan Pengarah syarikat-syarikat MAYC kepada ahli jawatankuasa TS Syed Hamid. Kami tak rasa terhalang pun tanpa kertas Hitam-Putih dari ROY, apatah lagi tanpa restu orang seperti Tuan Syed Rahman. Tanggungjawab kami kepada ahli...

Perjuangan Belum Selesai...

Kiranya sudi, saksikanlah saya di Astro Awani, program Meja Bulat, pada 8.15pm, Jumaat, 29 Oktober.

Tuesday, November 24, 2009

Mampukah Yang Taksub Menerima TG Nik Aziz Tidak Maksum?

Kabus mitos yang menyelubungi persepsi ramai penyokong PAS kini sudah lerai ditiup badai kebenaran. Jelas TG Nik Aziz tidak maksum, samalah bagaimana Pak Lah juga tidak sempurna kepimpinannya apabila menaruh terlalu banyak kepercayaan kepada menantu beliau! Maaflah kalau ada yang marah TG Nik Aziz disamakan dengan Pak Lah, tetapi hakikat ini harus diterima; Kedua-duanya orang kuat agama yang dibawa sesat oleh anak menantu tersayang...

Malah, pemimpin PAS haruslah bersyukur yang TG Nik Aziz setidak-tidaknya masih terbuka hatinya untuk menerima nasihat untuk membuang menantunya dari terus menjawat Ketua Pegawai Eksekutif PMBK. Mujurlah ia tidak dibiarkan melarat sehingga menantu tersebut mula berangan-angan untuk memegang kuasa politik pula! Cukuplah sudah ada seorang menantu pemimpin besar yang terkenal mengkecamukkan politik Melayu di tanah air kita ini.

Soalnya sekarang adalah, mampukah mereka yang taksub TG Nik Aziz ini menerima yang beliau tidak maksum? Ini sudah terbukti dengan terlalu jelas sekarang. Malah, TG Nik Aziz terpaksa menerima teguran dari Presiden dan Timbalan Majlis Ulama PAS sebelum bertindak, yakni bermaksud, kesedaran tersebut bukanlah timbul dari diri beliau sendiri mahupun ilham Ilahi baik dalam mimpi mahupun menusuk sanubari.

Saya sebenarnya begitu gawat melihat bagaimana TG Nik Aziz begitu didewa-dewakan oleh sesetengah pihak, sehinggakan riak kelihatan seolah-olah mula menular dalam tindak-tanduk mahupun kata-kata beliau. Ini tidak sihat. Pemimpin mesti selalu upaya ditegur kerana tiada yang sempurna lagi di antara kita. Itu kan antara Rukun Iman kita bersabit Kepercayaan Kepada Nabi dan Rasul? Makanya, diharap para penyokong TG Nik Aziz mengambil iktibar...

Sunday, September 06, 2009

Isu Perpindahan Kuil Ke Seksyen 23 Berkait Rasuah?

Sementara kerajaan negara terus ditohmah kononnya tidak berlaku adil terhadap agama minoriti, termasuk melalui media elektronik Wikipedia yang hanya memburukkan tanpa menampilkan jasa parti komponen MIC menegakkan maruah agama Hindu misalnya dengan mendirikan patung Lord Murugan di Batu Caves, jurublog ini ingin mempersoalkan, bermula di muka Facebook saya:
Perpindahan kuil ke Seksyen 23 dah ditunda.
Jangan diingat isu ini sudah mati kerana penyelesaiannya belum jelas pada sesiapa.
Cuma... kalau betul kuil ini 150 tahun umurnya,
maka seharusnya bertaraf khazanah budaya negara,
kenapa ada niat untuk memindahnya dari Seksyen 19 pula?
Apakah niat kerajaan Selangor sebenarnya?
Haruskah MACC bertanya?


Rata-rata akhbar melaporkan bagaimana kuil Hindu Sri Maha Mariamman yang kini di Seksyen 19 tersebut sebuah kuil lama berumur 150 tahun. Malah, fakulti seni bina Universiti Malaya dikatakan pernah melakukan lukisan berukur atau 'measured drawing' bangunan kuil tersebut, termasuklah perhiasan dan pahatan yang dikatakan indah, halus serta unik berbanding dengan kebanyakan kuil-kuil baru.

Berdasarkan maklumat umur dan keunikan kuil tersebut, seharusnya kuil tersebut didaftar sebagai sebuah 'Heritage Building' atau khazanah budaya penganut agama Hindu di Malaysia. Atas dasar tersebut, kuil Sri Maha Mariamman ini tidak seharusnya dipindahkan kerana perpindahannya membawa risiko kerosakkan dan hakisan nilai sejarah budayanya.

Sesungguhnya, kalaupun BN Selangor dahulu tidak dapat memutuskan perkara ini, kerajaan Pakatan Selangor baru, yang kononnya ber-'ketuanan rakyat', semestinya membiarkan sahaja kuil tersebut di lokasi sedia ada. Tetapi ini tidak, gatal juga nak memindahkan kuil tersebut! Persoalannya adalah, kenapa? Mungkinkah ada sesiapa yang mendapat untung dari perpindahan tersebut? Perlukah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia SPRM/MACC menyiasat?

Atau mungkinkah memang betul... kerajaan Pakatan Selangor ini agak kureng dan lembap pula kebolehannya...?! ...selain dari aksi sarkasnyalah...

Wednesday, July 22, 2009

If It Was My Wife...

If it was my wife who's body was found broken from a mysterious fall,
I would scream at the world,
I would blindly place blame on all nearest around,
I would rail for JUSTICE in terms that would fill the hole inside...

If it was my wife who's body was found after a time with the authorities,
I would lose all trust in those meant to protect her,
I would ask for more than the Royal Malaysian Police to seek out her killer,
I would seek personal SATISFACTION from the actions of all from Judge to Coroner...

If it was my wife who's body rests in the ground with questions unanswered,
I would rally all to my call to send those I blame to the grave,
I would insist that government forget all else but the TRUTH that I crave,
I would demand that a Royal Commission no less be formed to hammer and cleave...

... and I WOULD BE WRONG...

Friday, July 17, 2009

Pemimpin Muda UMNO Mahukan Suruhanjaya DiRaja?

Saya terkejut mendengar seorang pemimpin UMNO mendesak supaya sebuah Suruhanjaya DiRaja dibentuk untuk menyiasat kematian Setiausaha Politik kepada seorang Exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock. Ternyata beliau ingin mendahului para pemimpin Pakatan Rakyat yang memang gemar mendesak siasatan melalui Suruhanjaya DiRaja. Mungkin pemimpin muda UMNO ini juga serasi dengan Pakatan yang tidak yakin akan keupayaan Polis DiRaja Malaysia?

Mungkin ini sebahagian dari startegi pemimpin muda tersebut untuk memikat hati penyokong pembangkang yang tok-tok? Beliau pun dikatakan rajin ke sana-ke mari bermajlis bersama Tony Pua, budak se-Oxford yang menjadi harapan DAP. Di majlis-majlis tersebut, pemimpin muda UMNO tersebut melafazkan niat murninya untuk mempermodenkan UMNO sambil memohon kesabaran dari penyokong Pakatan kerana kononnya beliau 'tertambat' oleh 'kelapukan minda' orang UMNO.

Tetapi, saya agak hairan, rakyat sebenarnya mahu sangatkah Suruhanjaya pelbagai dibentuk seperti yang didesak ni? Saya rasa, rakyat lebih gemar kalau pemimpin UMNO mendesak supaya harga bas dan teksi diturunkan semula sedikit. Ini rasanya lebih penting kepada rakyat dari kematian seorang ahli politik, tak kiralah yang mendiang itu muda, baru nak kahwin dan baru lepas ditemu-bual Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Rakyat pun pasti hairan, kenapa pemimpin muda UMNO ini sibuk pula mahukan Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bersabit kematian ahli politik muda DAP tersebut? Apakah kematian beliau lebih penting disiasat dari kematian puluhan mangsa ragut, ratusan mangsa rompak dan ribuan mangsa kemalangan di jalan raya sehingga Suruhanjaya DiRaja diperlukan, padahal yang lain ini tidak? Atau mungkinkah beliau merasakan Suruhanjaya Diraja diperlukan untuk semua ini?

Gamaknya banyak benarlah Suruhanjaya DiRaja diperlukan ya!? Apakah perlu lagi Polis DiRaja dan Mahkamah sekiranya Suruhanjaya DiRaja boleh dibentuk sewenang-wenangnya pada masa ini? Pada suatu masa dahulu, Suruhanjaya DiRaja hanya ditubuhkan sekiranya ada sesuatu tragedi besar, seperti kejadian rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 yang menyebabkan kematian ratusan penduduk dan hampir memendekkan umur Malaysia sebagai negara merdeka berharmoni.

Kematian Teoh beng Hock ini juga bukan kali pertama seorang ahli politik disyaki terbunuh. Dahulu, Datuk Mohd Taha Talib, ADUN Tampin dan Dr Joe Fernandez, ADUN Lunas, juga didapati terbunuh, tetapi tak terlihat perlu pun ditubuhkan Suruhanjaya DiRaja. Tetapi pada zaman Pak Lah, sebuah pita video pun boleh menyebabkan terbentuknya sebuah Suruhanjaya DiRaja! Adakah pemimpin muda UMNO ini terlibat juga dalam penubuhan Suruhanjaya tersebut?

Dan macamlah hasil Suruhanjaya DiRaja rakaman video VK Lingam dan yang sebelumnya untuk "Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia" berkesan sangat! Hanya sekadar menjadi modal politik pemimpin tertentu sahaja, selain meragut lagi imej dan maruah dua institusi negara, yakni badan Kehakiman dan Polis DiRaja Malaysia sendiri? Padahal yang menjamin keselamatan negara selama ini siapa, ahli politik?

Saya sebenarnya sudah jijik akan tabiat pemimpin politik memperlekehkan institusi DiRaja dengan mendesak Suruhanjaya DiRaja diadakan untuk benda-benda remeh yang seharusnya ditangani oleh Polis DiRaja Malaysia. Kematian seorang ahli politik muda, tak kiralah betapa hiba dan tragisnya, bukan petanda kiamat untuk Malaysia. Biarlah sahaja pihak berkuasa menyiasat, dari kita terus-menerus menghina dan memperkecilkan institusi DiRaja.

Saya faham sekiranya pemimpin DAP sedang bersifat dan bertindak lebih kurang rasional dari lazimnya tentang hal ini... mendiang Teoh tu anak buah mereka! Tetapi mungkin sudah tiba masanya para pemimpin DAP mencapai sedikit kearifan tentang adab dunia. Dunia ini tidak berpaksikan sesiapa... Allah punya semuanya... maka hormatilah adab dunia ini, bukan semuanya harus menurut pendapat dan keinginan DAP... Institusi DiRaja bukan alat politik semata...

Ha, pemimpin muda UMNO yang berkenaan pun kelihatan buang tabiat pula... tapi kenalah faham... pemimpin muda mana yang dimaksudkan...

Thursday, July 02, 2009

Antara Ketua Pengawas Dan Pemangku Ketua Pemuda - Bhgn II

Saya pernah menulis bagaimana konflik kian mekar di Pemuda UMNO antara 'Ketua Pengawas'nya, YB Khairy Jamaluddin atau KJ dengan 'Pemangku' Ketua Pemuda, YB Dato' Razali Ibrahim. Kini pertembungan antara kedua-dua pemimpin ini pasti meruncing hasil 'pengiktirafan' PAS bahawa Dato' Razalilah pemimpin Pemuda yang lebih sesuai berinteraksi dengan Ketua Pemuda Pas, Nasharuddin Hassan Tantawi.

Ini jelas apabila Razali dan Nasharuddin bersama-sama terlihat berusaha menghidupkan lagi muafakat demi perpaduan Melayu menerusi cadangan "wacana" antara Pergerakan Pemuda kedua-dua parti yang merupakan usaha terkini PAS untuk merapati jurang persefahaman dengan UMNO. KJ tak nampak pun...

Tiba-tiba... terbit pula KJ dengan sidang akhbarnya sendiri tentang usaha tersebut! Wah, sang Ketua Pengawas boleh pula mencadangkan yang perbincangan tidak patut 'dihadkan' kepada hal Islam dan perpaduan Melayu sahaja, tetapi isu-isu semasa juga! WOI! Orang Melayu bimbang tentang hal ni! Tau la sdr KJ minat 'isu-isu semasa', tapi biarla kita FOKUS tentang yang penting untuk orang Melayu, bukan sekadar isu diminat KJ! Dahlah lepas KJ SIBUK PULAK NAK JEMPUT PEMUDA BN LAIN JOIN SAMA! SABOTAJ KE?

Hari ini, Karpal Singh memberi sebab kenapa KJ tidak layak menjadi pemimpin Pemuda dalam perbincangan serius seumpama diterajui YB Dato' Razali dan Nasharuddin... Karpal tempik yang KJ "KORUPSI!" dalam Parlimen! Malang bagi UMNO yang kali ini Karpal di buang Dewan kerana menyatakan yang benar dipersetujui oleh Lembaga Disiplin UMNO sendiri...

Sunday, June 28, 2009

Kegusaran Terhadap Pindaan Perlembagaan UMNO

Pemuda UMNO Cawangan Bendang Baru yang diketuai penulis baru selesai mesyuarat tahunan pada hari Sabtu lepas. Ketua Pemuda Bahagian, saudara Norsaidi Nanyan berbesar hati menghadiri majlis dan sudi memberi sepatah-dua kata sebagai ucapan penangguhan mesyuarat.

Mesyuarat tahun ini agak santai kerana tiada pemilihan dan kami bersyukur dapat juga cukup kuorum untuk bermesyuarat! Namun yang mengecewakan adalah, mesyuarat tidaklah seharusnya sesantai ini, kerana bukan sahaja kita dalam usaha merebut kembali negeri Kedah dengan mempertahankan kedudukan BN di Langkawi, tetapi tahun ini Mesyuarat Agung UMNO akan meminda perlembagaan!

Tetapi kita di cawangan pun sebenarnya tertanya-tanya, kalau betul perlembagaan nak dipinda, mana dia usul yang nak dibawa untuk meminda? Kenapa tak dibawa ke mesyuarat cawangan untuk dibincang? Atau mungkinkah prosesnya hanya beberapa cawangan atau bahagian sahaja diberikan kepercayaan untuk berdebat dan berbincang tentang pindaan perlembagaan?

Proses apa pun hendak diambil untuk meminda perlembagaan UMNO, yang menimbulkan kegusaran penulis dan ramai ahli UMNO lain adalah bagaimana sesetengah cadangan pindaan diketahui ahli melalui akhbar! Contohnya, saya mendapat tahu yang ada cadangan melanjutkan usia 'Pemuda' ke 45 tahun. Dahlah cadangannya kita tak suka - tapi tak apa, kita buat usul mengekalkan umur Pemuda kat 40 - tapi kenapa tak dihebahkan khusus kepada ahli dulu?

Pindaan perlembagaan bukan hal remeh, tetapi satu proses seakan pembedahan organ yang rumit ke atas badan organisasi UMNO. Untuk memastikan pembedahan berjalan dengan lancar, segala kegusaran anggota yang mungkin menyebabkan halangan mahupun kegagalan haruslah ditangani dengan berhemah. Berhemah kerana kalau tidak, anggota yang tak diubat awal mungkin bernanah atau menjadi kanser padahal pembedahan difikirkan berjaya.

UMNO bukannya organisasi yang berdasarkan retorik semata-mata seperti PKR, di mana tak relevan yang ahlinya kini boleh mengundi pemimpin pusat, sebab DS Anwar Ibrahim yang bukan ahli pun lebih berkuasa sebagai 'penasihat'. UMNO bukan PAS di mana 'Mursyidul Am' tak diundi lebih berkuasa dari Presiden yang diundi. UMNO bukan (lagi?) parti milik Bapa-Anak/Menantu seperti DAP. UMNO parti yang pada dasarnya masih demokratik, maka haruslah diubat dengan betul.

Janganlah usaha pindaan perlembagaan ini menjadi suatu lagi peluang untuk pemimpin menunjuk gah. Janganlah pandai-pandai nak pinda perlembagaan di luar lingkungan memperkukuhkan amalan demokrasi dan mengelakkan dari gejala RASUAH dari terus menular di dalam parti. Janganlah kecualikan ahli pada mana-mana peringkat sekalipun untuk memberi maklum-balas mahupun ide tentang pindaan tersebut.

Dari usaha mempertuakan Pemuda dan cadangan seperti menaikkan kuorum untuk mesyuarat tahunan yang bakal membunuh Cawangan pada tahun bukan pemilihan, kenapa tidak pertimbangkan:
  1. Penggunaan semula perkataan RASUAH dalam semua perbincangan parti tentang 'Politik Wang'. Dah RASUAH tu cakap aje RASUAH! Kata nak benteras, tetapi kemudian maniskan pula namanya. Shakespeare menulis lebih kurang,"Bunga Ros dengan nama apapun tetap harum baunya". Maka RASUAH pun sama busuk perlakunya betapa dirempah namanya sekalipun!

  2. Pembatalan semua hukuman 'amaran' kepada ahli yang didapati bersalah mengamalkan RASUAH oleh Lembaga Disiplin. Kalau dah RASUAH tu, GANTUNG TERUS!!! Apa amaran-amaran lagi, BUAT MALU AJE! Tengoklah budak yang menang lepas kena hukum 'amaran' aje lepas buat RASUAH... sekarang bila ada PRK aje, dialah jadi MASALAH!

  3. Memberi jalan-cara jelas bagaimana menangani situasi apabila ahli didapati bersalah RASUAH di luar. Contohnya, sekiranya ahli dihukum kerana RASUAH selepas tangkapan bukan sahaja SPRM, tetapi Pesuruhjaya Sekuriti dan mana-mana pihak yang bersabit. Sebaiknya kalau diluar dah dihukum sebab RASUAH, secara serta-mertalah Lembaga Disiplin hukum untuk RASUAH dalam parti!

  4. Serta-merta melucutkan apa-apa jawatan parti dan menggantung hak ahli memegang jawatan sepanjang menjalani hukuman penjara atau apa-apa pergantungan di luar (bankrap atau tak layak menjadi pengarah syarikat) kerana didapati bersalah kerana RASUAH.

  5. Tetapi dalam meminda perlembagaan dan undang-undang kecil parti seperti di atas untuk membenteras RASUAH, kenalah disediakan peraturan jelas tentang duit minyak (had bayaran sepanjang kempen, kelayakan menerima, dsb), mengadakan keraian atau majlis semasa kempen, sumbangan kepada program semasa kempen dan sebagainya.

  6. Best juga kalau perlembagaan memberi hak mutlak berkempen kepada mana-mana ahli dalam pertandingan dalam parti. Ini masa kempen dalam parti tak boleh buat ceramahlah, tak boleh ada majlislah, mengarut aje. Parti politik apa macam ni?

OK, melalut sikit bab-bab akhir... tapi kalau simpan aje nanti nanah bang...

Tuesday, March 31, 2009

Menanti Hero Melayu Baru Di Bukit Selambau...

Saya menerima pelbagai jemputan menarik untuk terlibat di PRK Bukit Selambau. Dua hari lepas, ada kawan mengajak saya ikut ke Bukit Selambau pada hari Jumaat ini. Masalahnya, mereka di antara ahli yang keluar dari UMNO bersama Tun Dr M dahulu dan amnya menyokong calon 'Parti Talipon', yakni bekas Ketua Cawangan di UMNO Bahagian Merbok, Mejar (Bersara) Anuar.

Hari ini saya menerima sms menarik juga:
Para Pemuda Akar Umbi yang amat-amat sayangkan Dato' Mukhriz. Esok 2/4/2009 Khamis, DMM akan melawat bilik gerakan BN di Bukit Selambau pada jam 2 ptg. Jom turun beramai-ramai untuk beri support!

Nampak gaya, kalah tak kalah, Dato' Mukhriz masih kekal sebagai hero yang berpaut dihati akar-umbi Pemuda UMNO di Kedah... walaupun diberitakan ramai perwakilan Kedah lari memangkah calon KP lain!

Untuk melengkapkan lagi alunan cerita hari ini, ada pemimpin tertinggi UMNO yang baru menang kedudukan baru-baru ini sedang disiasat Lembaga Disiplin. Yang menariknya, nama KJ terbit sekali lagi! Memandangkan beliau sudah pun didapati salah sekali dan sudah pun diberi 'amaran'... Adakah KJ ada rencana untuk meng-hero di Bukit Selambau, sekaligus mengancam kekalahan BN?

Akhir kata, mungkinkah sempat Dato' Razali Ibrahim tiba ke Bukit Selambau untuk diraikan dalam kempen sebagai Pemangku Ketua Pemuda UMNO baru? Wallahualam...

Wednesday, January 28, 2009

Maklum-Balas Awal Cadangan Pembubaran Sayap UMNO

Saya amnya lebih suka membuat komentar sendiri tentang isu, tetapi saya menerima maklumbalas awal yang cukup cantik dari Ketua Pemuda saya, saudara Nor Saidi Nanyan, tentang cadangan pembubaran sayap-sayap UMNO, termasuklah Putera, oleh YM Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen.

Komen KP Langkawi:

Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen, mencadangkan supaya sayap-sayap UMNO (Puteri & Putera; Pemuda & Wanita juga kah?) dihapuskan untuk membenteras politik wang.

Camana nak terbang kalau tak ada sayap? Apa punya cadangan ni? Inilah tikus yang cuba memperbaiki labu...

Isunya, adakah punca politik wang daripada sayap ataupun tanpa sayap kita bebas dari politik wang? Siapakah yang menyuburkan politik wang? Siapakah sebenarnya yang beriya menghebohkan politik wang?

Apakah sakit kepala, kaki yang menjadi mangsa?

Sudah terlalu cantik rasanya hujah KP saya ni... :-) Namun kerana ini blog saya, ingin saya tambah lagi di sini:
  1. Bukankah tugas Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen dengan Lembaga Disiplin pimpinannya untuk membenteras politik wang? Maka adakah beliau melihat kebanyakan kes datang dari sayap atau dari induk parti?

  2. Apakah pendapat Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen apabila melihat kerjanya sekarang kelihatan dikerjakan oleh MACC? Adakah ini wajar ataupun lojik? MACC di bawah bidang kuasa siapa? Mengapakah pendapat tentang ini tidak dikeluarkan dahulu? Kami ahli UMNO semua kebingungan Tan Sri...

  3. Apakah motif mediamasa yang mengeluarkan pendapat ini? Adakah ia bakal disusuli oleh tindakan ganas MACC terhadap calon-calon sayap pula? Akan bakal adilkah tindakan ini kelak?

  4. Mungkinkah ini usaha untuk memperlekehkan Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen sendiri, secara langsung melumpuhkan lagi Lembaga Disiplin selepas peranannya dirampas MACC yang dikatakan juga dipengaruhi parti pembangkang di Parlimen?

Maaf YM Tan Sri dan sanak saudara yang mungkin terkilan memandangkan bapa serta anak saling berkawan dalam UMNO mahupun NGO, tetapi walau ahli biasa, kami juga bertanggungjawab memantau, mendesak dan menegur...

Monday, November 10, 2008

Rasuah...

Saya tidak terkejut mendengar Datuk Mukhriz Mahathir (DMM) dituduh rasuah oleh segelintir pemimpin UMNO hasil kejayaannya mendapat pencalonan terbanyak, tetapi ini bukan kerana Mukhriz rasuah! Apa-apa kesangsian di hati saya, ia dileraikan apabila seorang Ketua Pemuda Bahagian menceritakan tempohari,"Saya sendiri calonkan Khairy, tetapi perwakilan nak Mukhriz, nak buat apa! Satu sen Mukhriz tak belanja, 200 lebih perwakilan mengundi pencalonannya!"

Mukhriz mendapat pencalonan terbanyak kerana sokongan padu dari bawah yang mahukan beliau sebagai Ketua Pemuda, dan kadangkala ini bercanggahan dengan pendapat atau kehendak para pemimpin Pemuda bahagian. Namun kenapakah beliau begitu tertuduh walau bukti satu habuk pun tak nampak? Ini kerana:

  1. Mukhriz sendiri tidak menyangka para perwakilan begitu menginginkan beliau dicalonkan untuk bertanding. Beliau dan kemnya dari awal lagi menyatakan kelayakannya bertanding pasti dengan pencalonan 'cukup makan'. Kalau ini gambaran beliau akan kelemahannya, ada para pemimpin yang tertanya-tanya dari manakah datang kekuatannya secara tiba-tiba!

  2. Ada pula pemimpin UMNO yang berpendapat rasuahlah cara termudah untuk mendapat sokongan dari ahli di mana-mana peringkat, baik Cawangan, Bahagian dan Kebangsaan. Kerana itulah apabila timbulnya fenomena sokongan 'dari bawah' seperti ini untuk Mukhriz, mereka kebingungan dan cukup bersedia buruk sangka, lalu menuduh. Sebenarnya mereka harus mencermin diri dan bertanya, kenapa saya hanya mampu main duit sahaja?

  3. Kemungkinan besar kekuatan sokongan akar-umbi terhadap Mukhriz telah menggemparkan bukan sahaja saingannya untuk jawatan Ketua Pemuda, tetapi pemimpin segenerasi dengannya yang kini terasa 'terancam'. Yang merunsingkan adalah bagaimana pesaing-pesaing ini cukup sedia menggunakan fitnah sebagai senjata menangani sokongan popular Mukhriz.

Tetapi tidak mengapa. Unsur-unsur negatif politik memang harus diharungi mana-mana pemimpin dalam perjuangan, namun yang penting adalah "Qulil haq walau ka nal muran" yakni ”Berkata benar walaupun pahit”. Dan di sini ingin saya lakarkan kisah rasuah yang lebih penting diperkatakan oleh perwakilan langsung ditangani oleh setiap ahli demi mengembalikan UMNO ke perjuangan asalnya.

1993: Seorang Ketua Bahagian ditanya anak buahnya bagaimana politik dibiaya. Dibawa anak buahnya dalam Perdana sekeliling desa. Ditunjuk titi baru merentas sungai. "Komisyen 5%," katanya. Kemudian ditunjuk pula bumbung baru sekolah. "Lagi 5%". Sambil menunaikan tanggungjawab sama-sama membiayai ongkos perjuangan.

2008: Anak buah kini kaya-raya walau sekadar Naib Ketua Pemuda sahaja. Dibawa Ketua Bahagian lamanya tadi dengan helikopter berlegar di udara kota. Ditunjuknya,"Tengok Dato', Jambatan, Wisma dan Asrama baru tu?" "Mana Dato'?",tanya Ketua Bahagian kembali kerana hanya terlihat tanah merah merata-rata. "Ha, Ha, Ha! 95%! 95%! 95%!,"gelak sang Dato' muda megah tak bertempat. Geleng kepala Ketua Bahagian lama...

Kita kalah kerana rakusnya pemimpin hingga terlupa tanggungjawab kepada rakyat rupanya. Bukankah sudah tiba masa untuk BERANI BERUBAH!?

Tangential Malay Search Results