Showing posts with label KuLi. Show all posts
Showing posts with label KuLi. Show all posts

Wednesday, November 25, 2020

Bila Berkecuali Tidak Memadai: Belanjawan 2021

Penulis melihat keputusan YBM Tengku Razaleigh Hamzah, atau KuLi, untuk berkecuali dalam pengundian Belanjawan 2021 sebagai tertib beradab namun tetap mnengecewakan. Secara simboliknya, penangan tindakan berkecuali YBM memang sesuai, juga melukakan usaha kerajaan PN, tetapi ia tidaklah memadai sebagai tanda penolakkan beliau terhadap keabsahan kerajaan tersebut.

Tinjauan rambang yang dilakukan penulis bersabit harapan Rakyat terhadap tindakan Ahli-Ahli Parlimen adalah untuk memutuskan sesuatu sesuai dengan mandat mereka sebagai wakil rakyat, terutama bagi undian Belanjawan 2021. Walau ada yang melihat Titah Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong (DYMM YDPA) seolah-olah mewajibkan sokongan terhadap kerajaan, tetapi LEBIH RAMAI mahukan undian tersebut lebih mengambil kira musibah yang kini menghadapi Rakyat yang mengundi Ahli-Ahli Parliament tersebut.

Malah ada sesetengah pihak yang dahulunya bersemangat menyokong KuLi apabila YBM mula bersuara mengkritik kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) dan kemudian mencabar keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini keliru dan tertanya-tanya, bukankah mengalahkan undian Belanjawan 2021 merupakan cara paling sesuai serta segera untuk menamatkan riwayat kerajaan tersebut? Sekiranya seseorang Ahli Parlimen ikhlas membangkang dan mengkritik Belanjawan 2021 sekaligus keabsahan kerajaan PH, semestinya wajib mereka menolaknya!

Tindakan berkecuali sebagai bantahan simbolik akhirnya malah mungkin membawa kepada berjayanya Belanjawan 2021 diluluskan walaupun dengan jumlah undi kurang dari separuh Dewan Rakyat!

Ahli-Ahli Parliamen tak perlu risau pendapat Rakyat yang amnya kecewa dengan Belanjawan 2021 yang mensesiakan jumlah gergasi yang diperuntukan dengan menyalurkan kepada peluang-peluang projek besar selain perbelanjaan yang terang-terangan berunsur politik. Malah, Belanjawan 2021 juga jelas tidak berpandukan Titah DYMM YDPA yang  menekankan Kelangsungan Hidup Rakyat dan Pemulihan Ekonomi seiring dengannya! Bukan pembinaan bangunan kerajaan baru atau menghidupkan agensi politik!

Tambahan pula, sejak malam tadi, ura-ura menular yang Peruntukan Ahli-Ahli Parliamen akan ditambahkan lagi sehingga melebihi RM4 Juta bagi setiap Parlimen yang menyokong Belanjawan 2021 ini! Benarkah perkara ini? Inikah rahsia di sebalik ''peruntukan khas'' Jabatan Perdana Menteri bernilai RM 1 Ribu Juta?  Bukankah initiative sesuatu yang berbaur rasuah? Adakah yang BERKECUALI JUGA DAPAT sekiranya ia membawa kepada kelulusan Belanjawan 2021 dengan undi kurang separuh Dewan? 

Akhir kata, Belanjawan 2021 haruslah DITOLAK oleh semua Ahli Parlimen yang ikhlas menolaknya, selain mencabar keabsahan kerajaan PN pimpinan TSMY. Berkecuali buat undian ini merupakan pilihan yang menderhakai mandat Rakyat.

Tuesday, February 09, 2010

Kepimpinan Baru PKR Pasca Malapnya Era DS Anwar Ibrahim... Hasil Musibah Dari Allah...

Tidak boleh dinafikan yang DS Anwar Ibrahim bijak dalam memilih dan mengasah bakat kepimpinan muda. Di UMNO sendiri, terlalu ramai pemimpin generasi DS Najib ke bawah yang bertunas bakat kepimpinan organisasinya di bawah didikan DS Anwar. Ini termasuklah mereka yang kini berada dalam barisan kabinet, seperti Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Dr Puad Zarkashi, Datuk Shabery Cheek dan DS Ahmad Zahid Hamidi mahupun Menteri Besar seperti DS Dr Zambry Kadir.

Malah, adalah menarik dilihat yang pemimpin bawahan DS Anwar yang berkualiti dan celik mata seperti disebut tidak menurutnya keluar dari UMNO apabila beliau dipecat dahulu. Pemimpin seperti ini berpegang kepada prinsip perjuangan lebih dari setiakawan, maka apabila timbul percanggahan pendapat tentang halatuju agama, bangsa dan negara, tak hairanlah apabila mereka berpecah barisan dengan DS Anwar memandangkan beliau mula berlaku terlalu liberal dan populis.

Kemudian dilihat, DS Anwar mampu mengumpulkan barisan baru yang berbakat, lebih muda serta cukup bertenaga untuk menggerakkan agenda Reformasinya pada suatu masa dahulu. Namun, tulang belakang barisan tersebut, seperti para pemimpin ABIM veteran seperti Dr Siddiq Fadzil dan Dr Mohd Noor Manuti serta anak-anak buah mereka, mahupun pemimpin politik muda seperti YB Zulkifli Nordin, kini tidak kelihatan di sisi Anwar menghadapi Sodomi II. Kenapa?

Hilangnya sokongan terhadap DS Anwar pada hemah saya adalah kerana pendirian beliau yang kalimah 'Allah' boleh dikongsi oleh umat Islam di Malaysia dengan para penganut agama lain. Malah, DS Anwar memberi hujah bertubi-tubi, menyatakan pendapat yang memesongkan hujah dari para ulama terkemuka atau lebih buruk lagi, seolah-olah bersekongkol dengan Islam Liberal Indonesia pimpinan Nurcholish Majid yang tiada kredibiliti di kalangan umat Islam Malaysia.

Pada masa yang sama, kepimpinan PKR yang benar-benar membawa nilai yang disokong oleh rakyat kebanyakkan, seperti YB Tan Tee Beng, YB DS Zahrain Mohd Hashim, YB Wee Choo Keong, YB S. Manickavasagam dan juga YB Zulkifli Noordin semakin menjauhkan diri dari kepincangan kepimpinan DS Anwar yang merugikan PKR. Ia semakin menjadi-jadi apabila Ketua Menteri DAP, Lim Guan Eng, tertuduh sebagai 'diktator bersifat perkauman' di negeri DS Anwar sendiri, Pulau Pinang.

Sekiranya YB Saifuddin Nasution terbuka hatinya untuk berpaling tadah, maka tak mungkin mereka yang mencengkam kuasa semata-mata kerana kasih DS Anwar, seperti YB Azmin Ali, Tian Chua, Sivarasa Rasiah, mahupun Syed Husin Ali, dapat kekal ditampuk kuasa parti, apatah lagi menyelamatkan PKR untuk Anwar. Menarik sekali, PKR mungkin kemudian akan ada masa depan sebagai sebuah parti politik berdasarkan prinsip, bukan sebagai pentas peribadi DS Anwar!

Lebih menarik lagi, mungkin sudah ada pun pengganti kepada DS Anwar sebagai pemimpin ulung yang diakui walau di peringkat antarabangsa ... YBM Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (KuLi)! Dan DS Anwar juga yang tak semena-mena membuka jalan untuk KuLi dengan menjemputnya untuk memimpin 'kaukus' royalti minyak!

Menarik...

Monday, September 29, 2008

Analisa Hasil Keputusan Mesyuarat MKT UMNO 26/9/2008: Keputusan MENANG-menang Ala Pulau Batu Putih Untuk Pak Lah

Pada waktu menulis, 5 Ketua Bahagian UMNO sudah pun mengisytiharkan niat Bahagian mereka untuk mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden serta Timbalan Presiden parti bulan depan. Selain dari Bahagian Cheras, Titiwangsa dan Besut yang dilaporkan sebelum ini, nampak gaya Ketua-Ketua Bahagian Batu Pahat serta Shah Alam juga turut melafazkan niat yang sama.

Ini menunjukkan perbezaan paling lahir antara senario politik UMNO sebelum dan selepas mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi UMNO (MKT) pada hari Jumaat lepas, yakni 26 September 2008. Terlihat selain dari pemimpin bawahan serta ahli-ahli biasa UMNO melahirkan hasrat Pak Lah berundur dari jawatannya secepat mungkin, kini pemimpin-pemimpin besar parti parpangkat Ketua Bahagian ke atas semakin terbuka kelantangannya.

Tetapi sebelum kita merumuskan MENANG dan menang di tangan siapa pasca 26 September, haruslah kita mendedahkan rentetan peristiwa serta agenda yang dibawa ke mesyuarat MKT tersebut.

Pak Lah Meredah MKT Mencari Selamat

Sejurus sebelum mesyuarat tersebut, telah pun berlangsung 2 lagi mesyuarat MKT yang beragenda memantapkan kedudukan Pak Lah sebagai Presiden UMNO, namun sebaliknya melemahkan lagi pegangan kuasanya. Malah selesai mesyuarat MKT pada minggu sebelumnya, ada akhbar pro-kerajaan yang berani memaparkan bagaimana Pak Lah begitu didesak berundur oleh pemimpin-pemimpin tertinggi parti sehinggalah DS Najib bertindak melindunginya.

Walaupun ada yang mengecam DS Najib kerana laporan yang beliau terampil melindungi Pak Lah dari kritis berterusan ketika mesyuarat, namun tindakan Najib ternyata bijak kerana ia kemudian membolehkannya:
  1. Menunjukkan dirinya masih memegang kepada sopan-santun Melayu yang menghormati ketua walau yang lemah dan penghindarnya ke tampuk kuasa.

  2. Pada masa yang sama, paparan bagaimana Najib melindungi Pak Lah di MKT menunjukkan beliau jelas lebih berpengaruh namun tidak rakus kuasa.

  3. Ia juga membuka jalan untuk DS Najib menggubah penyelesaian krisis sesuai dengan kepentingan politiknya.

Ternyata kedudukan Pak Lah sebagai Presiden, beserta kerabat serta sahabat politik beliau semakin parah. Malah, kemungkinan Pak Lah tidak mendapat pencalonan yang mencukupi untuk mempertahankan jawatannya telah diutarakan secara terbuka di MKT oleh Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz. Mamandangkan ancaman yang melanda, dikhabarkan bahawa beliau dan anak-anak buahnya di Tingkat 4 kemudian telah merangkakan strategi baru yakni:

  1. Menunda Perhimpunan Agung UMNO bersama pemilihan ke bulan Jun 2009.

  2. Menunda Mesyuarat-Mesyuarat Bahagian ke bulan April 2009.

  3. Memperkuatkan kedudukan Pak Lah dengan menukar-ganti kementerian Pak Lah dengan DS Najib, dengan harapan Datuk Mohd Nor Yaacob dapat mengawal keadaan di Kementerian Kewangan.

  4. Sepanjang masa ke bulan April, segala hasil yang boleh diagihkan dari Kementerian Pertahanan akan digunakan untuk memperkuatkan kedudukan politik Pak Lah.

  5. Memastikan Pak Lah menang tanpa bertanding sebagai Presiden UMNO, atau setidak-tidaknya, menguburkan usaha mencalonkan DS Najib ke jawatan tersebut.

Untuk menggerakkan strategi tersebut, Pak Lah terpaksa memanggil satu lagi mesyuarat MKT. Maka menurut maklumat dalaman, beliau telah mencuba dahulu untuk mendapatkan persetujuan DS Najib untuk menunda Perhimpunan Agung serta Mesyuarat-Mesyuarat Bahagian. Seperti diduga, DS Najib membantah cadangan tersebut, namun segala sebab teknikal yang diberikan beliau tidak diendahkan.

Khabarnya Pak Lah termakan hasutan orang-orang terdekat dan menganggap DS Najib hanya mencari helah. Maka beliau pun mula memasang kakinya di MKT untuk menyokong strategi baru tersebut.

Strategi Pak Lah Dipatahkan Keluhuran Perlembagaan UMNO

Malang bagi Pak Lah, DS Najib bukan berhelah, tetapi telah mengutarakan isu-isu teknikal yang benar dan jitu. Sekiranya Pak Lah berkomplot dengan Setiausaha Agung UMNO, Dato' Tengku Adnan Tengku Mansur, mungkin beliau dapat dinasihatkan tentang masalah-masalah tersebut. Malangnya, Pak Lah telah sekali lagi berpaut kepada pemikiran anak-anak buahnya di Tingkat 4 yang Sijil Ijizah Berjela Hebat-Hebat Belaka, Namun Pengalaman Dan Bijaksana Tidak Seberapa.

Oleh itu, apabila cadangan untuk menunda Perhimpunan Agung ke bulan Jun 2009 dibentang, ia telah dengan serta-merta menerima bangkangan kerana menurut perlembagaan parti, Perhimpunan Agung boleh ditunda selama maksima 18 bulan sahaja. Oleh itu, Perhimpunan Agung UMNO haruslah diadakan paling lambat pun pada bulan Mei 2009 untuk mengelakkan UMNO dari diharamkan oleh Pendaftar Pertubuhan.

Hasil yang paling parah untuk Pak Lah dari bangkangan ini adalah persoalan kenapakah Pak Lah tidak tahu-menahu tentang halangan Perlembagaan tersebut? Ia juga menunjukkan Pak Lah tidak merujuk kepada Setiausaha Agung parti mahupun yang sepengetahuan dengannya dalam menggubak cadangan tersebut. Dalam kegagalan hasil kebingungan ini, dengan mudah sahaja strategi Pak Lah di patah-patahkan.

Tak kiralah betapa lincah dan lantangnya pedukung Pak Lah di MKT dalam usaha penundaan Mesyuarat Bahagian, kegagalan awal membuka peluang untuk mematahkan segala rencana. Tambah lagi dengan pelbagai halangan Perlembagaan seperti masalah had umur bertanding Pemuda dan Puteri yang mungkin membangkitkan kemarahan sekiranya apa-apa penundaan dilakukan serta kos pembatalan mesyuarat, rencana Pak Lah terhalang.

Namun, bila dilihat keputusan akhir MKT menunda Perhimpunan Agung ke bulan Mac 2009, ia seolah-olah berbau kemenangan buat Pak Lah. Tetapi benarkah begitu?

MENANG Najib Dan menang Pak Lah

Sebenarnya, keputusan untuk meneruskan sahaja Mesyuarat Bahagian seperti dijadualkan sementara menunda Perhimpunan Agung ke bulan Mac memberi banyak kelebihan kepada DS Najib dan pasukannya. Pak Lah pula kelihatan seolah-olah menang, tetapi kemelut di sebalik mesyuarat-mesyuarat MKT bertujuan memperkasakannya tersebut kini boleh dijadikan sebagai bukti jelas yang beliau tidak ikhlas apabila berjanji akan berundur dalam masa terdekat.

Maka menangnya Pak Lah kerana pada lahirnya, beliau berupaya kekal sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia setidak-tidaknya sehingga bulan Mac 2009, dan sepanjang masa tersebut berupaya menggerak jentera kerajaan untuk memantapkan kedudukannya. Namun ini bergantung kepada kemungkinan beliau menerima cukup pencalunan untuk mempertahankan kedudukannya...

Maka MENANGnya DS Najib kerana:

  1. DS Najib kini tidak perlu akur dengan pelan peralihan kuasa. Malah para penyokongnya kini boleh memukul canang secara terbuka untuk mencalunkan beliau sebagai Presiden UMNO dengan bukti utuh yang Pak Lah tidak ikhlas berdasarkan tindak-tanduknya baru-baru ini. DS Najib pula tidaklah rakus...

  2. Berita yang niat Pak Lah menunda Mesyuarat Bahagian dan Perhimpunan Agung adalah semata-mata untuk memperkukuhkan kedudukannya kini menyemarakkan lagi kemarahan akar-umbi parti terhadap beliau.

  3. Apabila DS Najib berjaya mendapatkan pencalunan yang mencukupi untuk bertanding jawatan Presiden, dan terutama setelah Pak Lah tidak cukup pencalunan, tempoh 4 bulan dari tamatnya Mesyuarat Bahagian terakhir pada bulan November hingga ke Mac memberikan beliau banyak masa untuk memperkukuhkan kedudukan. Itu pun kalau beliau tidak dilantik DYMM YDP Agong menjadi Perdana Menteri dari bulan Disember ini!

Lafazan niat pencalunan DS Najib oleh 5 Ketua Bahagian tersebut, termasuk dari Besut, yang dipimpin bekas penyokong setia Pak Lah, Datuk Idris Jusoh, membawa bukti keMENANGan awal DS Najib. Pak Lah pula tak cukup 58 Bahagian yang setia padanya. Paling banyak pun 47 Bahagian, dan 11 darinya di Pulau Pinang, yang kini tergoncang hasil layanan buruk terhadap Datuk Ahmad Ismail tempohari.

Insya'Allah... kita diselamatkan Allah dari bencana berterusan menjelang Syawal ini...

Akhir kata, ingin saya mengucapkan kepada semua pelayar blog ini Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Maaf Zahir Batin. Blog ini akan ber'cuti raya' sebentar...

Thursday, September 25, 2008

Najib Membantah Rupa-Rupanya... Propanganda Pak Lah Sahaja Yang Ingin Mencemar Namanya...

Teman-teman di MYKMU telah mendedahkan bahawa rupa-rupanya, Datuk Seri Najib Tun Razak membantah apabila Pak Lah menyatakan keinginannya mengadakan mesyuarat tergempar MKT pada hari ini. Sebab-sebab yang deberikan oleh DS Najib juga terlihat akibat keperihatinan beliau terhadap kehendak dan keupayaan ahli-ahli serta pemimpin-pemimpin bawahan UMNO.

Yang menyebarkan dakyah membingungkan, kononnya DS Najib bersekongkong dengan Pak Lah dalam usaha baru menyelamatkan pelan peralihan kuasa adalah jentera KJ, Kamal, Kalimullah dan bersekutu dengannya rupa-rupanya. Dengan ini, saya ingin memohon maaf sekiranya paparan blog saya yang sebelum ini menimbulkan kesangsian terhadap kepimpinan DS Najib.

Mari kita ahli-ahli UMNO dari semua peringkat bangun membantah pelan peralihan kuasa yang ternyata menguntungkan segelintir dan merugikan parti. Moga-moga pemilihan bulan Disember ini menyaksikan perentapan DS Najib melawan KuLi, supaya ahli-ahli UMNO dan rakyat Malaysia mendapat manfaat lebih awal dari pemergian Pak Lah...

Tuesday, September 16, 2008

Tahniah Anwar Ibrahim... 16 September 2008 Dalam Kenangan...

Belum tamat lagi pun 16 September, namun jenaka tersebut sudah pun berlegar rancak di ruang pesanan sms rakyat Malaysia:

Akhirnya kejayaan berpihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 2.45 petang tadi, dengan mendapat loncatan 30 kerusi plastik dan sebuah kabinet besi dari Pusat Perabot Courts Mammoth. Beliau telah mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di hadapan GAMBAR Yang Di Pertuan Agong di rumahnya di Segambut. Turut hadir pimpinan tertinggi Parti PKR, DAP dan serpihan PAS 'liberal' bersama wakil Majlis Peguam. Syabas diucapkan...

Namun dalam kegirangan, teman-teman dalam UMNO dan BN harus bersyukur dan waspada akan begitu hampirnya Anwar mengecapi kejayaan. Masalah kita yang terkini sekali adalah kelekaan yang mungkin menyusupi riak, dilaukkan pula dengan kesediaan Pak Lah untuk mengakui kegagalan Anwar hasil usahanya. Ini walaupun tindakan Pak Lah sendiri tempohari dengan permainan ISA yang separuh masak dan tidak berkesan hampir menjahanamkan segalanya.

Anwar gagal sebenarnya kerana sudah ada harapan baru meniup, menyinar, menembusi kegelapan UMNO semenjak akhir minggu lepas. Kegagalan Anwar disebabkan kejayaan Tan Sri Muhyiddin membawa harapan baru yang Tun Dr M kini bersedia kembali ke UMNO bagi membantu KuLi dalam usaha menumbangkan Pak Lah dari tampuk kuasa.

Perjuangan masih belum selesai... dan masyarakat yang ikhlas mahukan perubahan juga pasti gembira melihat seorang gergasi sudah semakin bangun mengasah kuku dan menyuarakan wadahnya...

Sunday, September 07, 2008

Tun Dr M Akan Menyertai Semula UMNO Untuk Menyokong Usaha KuLi Merebut Jawatan Presiden UMNO

Ingin saya memberi pengesahan di sini bahawa khabar angin yang kini tersebar melalui sms yang Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyertai kembali UMNO tidak lama lagi untuk menyokong usaha KuLi merebut jawatan Presiden UMNO Disember ini adalah berita yang sahih.

Untuk memastikan kesahihan berita ini, silalah sujuk kepada dua orang bekas Setiausaha Agong UMNO, Tan Sri Sanusi Junid dan Tan Sri Sabaruddin Chik. Niat kembalinya semula Tun Dr M ke UMNO ikhlas, untuk menyelamatkan negara dari ancaman kelembapan berterusan kepimpinan Pak Lah.

Soalnya sekarang, adakah kepimpinan UMNO akan dengan ikhlas menerima kembalinya Tun Dr M? Atau adakah pelbagai halangan dan 'spin' baru yang akan menjelma? Walau dalam bulan Ramadhan Mubarak? Kita saksikanlah nanti...

Kemaskini 1...

Desas-desus menyatakan yang Tan Sri Muhyiddin Yassin terlibat dalam usaha mengembalikan Tun Dr M ke pangkuan UMNO. Sekiranya benar, sudah tentu ia akan memperkuatkan kedudukan TS Muhyiddin untuk merebut apa-apa jawatan sekalipun dalam pemilihan UMNO kelak.

Menarik juga maklum-balas sms yang menyatakan pertandingan Presiden UMNO pada Disember ini mungkin sekali antara KuLi dan Najib. Bicara kegentingan UMNO selesai PRK Permatang Pauh tempohari, disusuli tindakan kepimpinan Bahagian-Bahagian UMNO Pulau Pinang mempertahankan kedudukan Dato' Ahmad Ismail dengan sinis membisik penolakan kepimpinan Pak Lah.

Persoalan kedua, mampukah 'hujan kain pelekat' yang pasti akan datang menyelamatkan Pak Lah sekarang?

Kemaskini 2...

Usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim merebut kuasa menjelang 16 September adalah antara pemangkinkan usaha mengembalikan Tun Dr M ke UMNO. Ternyata Tun Dr M lebih berupaya menangkis dakyah Anwar dari kepimpinan sekarang. Antara sorotan yang membimbangkan masyarakat Melayu, baik UMNO, PAS mahupun berkecuali adalah kemungkinan kerajaan Anwar bermajoriti bukan Melayu dan bukan Islam!

Wednesday, March 26, 2008

"Sayang Lah, Boleh Blah", "Takut Lah, Boleh Blah" atau Layak Digelar Majlis Tertinggi UMNO?

Pak Lah dalam bahaya. Terlalu banyak usahanya setakat ini untuk menetapkan kuasa dan kedudukan beliau sebagai Presiden UMNO merangkap PM telah gagal.

Dari kedudukan yang cukup kuat dahulunya, kini MB Johor kekal di tempatnya, mahupun usaha menggantikannya diatur Tingkat 4 sejak sebelum pilihanraya lagi. MB Terengganu kini terlepas ke pemimpin berhaluan lain. Malah usahanya 'membeli' kembali sokongan bekas MB Perlis juga mencapai kebuntuan.

Jika dicongak sekali dengan sejumlah Ketua Bahagian UMNO yang sudah pun sedia marah kepada Pak Lah akibat 'tak lekat' sebagai calon bersama dengan pemimpin bahagian yang menganggap beliau serta KJ sebab kekalahan besar UMNO di 5+1 negeri, KuLi pasti sudah ada lebih dari 57 bahagian yang diperlukan untuk mencalonkan diri sebagai Presiden UMNO!

Malah lebih memalukan lagi, ada kemungkinan sokongan Pak Lah begitu merudum hingga beliau sendiri tidak akan dapat cukup pencalonan untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden UMNO! Terlalu ramai Ketua Penerangan Negeri dan MB UMNO, seperti Tajol Rosli, Adnan Yaakob dan Ali Rustam yang mempunyai kekuatan serta kewibawaan untuk mengubah haluan menurut kepimpinan KuLi, atau mana-mana pemimpin lain selain Pak Lah.

Sampaikan MB yang dikatakan paling rapat dengan Pak Lah, Mohamad Hasan, sudah pun dengan cekal mengesyorkan yang pemilihan UMNO harus diadakan.

Inilah sebabnya pemilihan UMNO mahu ditangguhkan. Pak Lah, setelah merasa kekalahan PRU-12, kini sudah semakin hilang keyakinan pada dirinya sendiri dan ingin berlindung dari pemilihan. Pemilihan tersebut bakal memberi suara kepada kebencian akar-umbi UMNO yang semakin meluap terhadap beliau dan kuncu-kuncunya.

Lihatlah sahaja siapa yang memberi keterangan tentang penangguhan pemilihan UMNO - Mat Taib, yang ternyata masih terhutang budi atas nyawa politik baru yang ditiupkan ke dalamnya oleh Pak Lah. Kenapa bukan Tengku Adnan, Setiausaha Agung UMNO yang membawa wadah ini? Kerana Tengku Adnan lebih sayangkan UMNO dari mana-mana pemimpinnya...

Ya lah, Ku Nan kan orang Tun Dr M, memang lazimnya begitu. Setiausaha Agung zaman Tun Dr M dulu semua fanatik UMNO, termasuklah Sabaruddin Chik, Mohamad Rahmat dan Sanusi Junid. Sudah tentu sebagai bekas Setiausaha Kerja UMNO zaman Tun Dr M, Tengku Adnan juga lebih berfanatikkan parti UMNO dari pemimpinnya, mahupun Tun Dr M sendiri! Inikan pula Pak Lah...

Mat Taib menggambarkan kalau ada pemilihan mungkin akan menimbulkan perpecahan dalam UMNO. Perpecahan apa ni? Kalau ada pemilihan, sudah tentu Pak Lah kalah! Bubuhlah siapa pun jadi pencabar Pak Lah, walau seputik bunga orkid sekalipun, pasti kalah punya Pak Lah! Jadi kalau nak berpecah pun UMNO, mesti kerana Pak Lah bakal merajuk meninggalkan UMNO.

Tapi ada ka cukup orang yang nak ikut Pak Lah keluar bila kalah sehingga timbul perpecahan? Silap-silap, anak menantu dia pun tak ikut dia keluar! Mengarutlah kata-kata Mat Taib yang pemilihan akan menyebabkan perpecahan UMNO.

Makanya, Pak Lah dan kuncu-kuncunya ingin menunda pemilihan UMNO. Pendek kata, nak sembunyi di tepi kain Majlis Tertinggi UMNO lah tu! Inilah peluang ahli-ahli Majlis Tertinggi untuk menunjukkan kewibawaan mereka. Adakah mereka akan membuktikan sayang mereka kepada Pak Lah, atau sayang mereka kepada UMNO, agama, bangsa dan negara?

Senang macam ni lah. Kalau ada spy-spy mana-mana dalam mesyuarat Majlis Tertinggi tu nanti, laporkanlah siapa yang mengundi menyokong penundaan pemilihan. Yang berbuat demikian ada sudah mula melabelkan "Sayang Lah, Boleh Blah". Yang ini bakal kalah pada pemilihan kemudian. Kalau diumumkan persetujuan sebulat suara pun menarik, semua nanti tertukar!

Janganlah ada nanti ahli Majlis Tertinggi yang kata mereka megundi menyokong penundaan tetapi sebenarnya menentang. Yang ini dayus namanya, dan seeloknya berundur sahaja dari Majlis Tertinggi, atau "Takut Lah, Boleh Blah".

Yang kita ingin adalah yang lantang menidakkan usaha kecut Pak Lah dan Mat Taib ini. Yang berani dan berwibawa macam ini lah silap-silap kita angkat jadi Naib Presiden atau lebih tinggi lagi!

Terpulanglah kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi sekarang. Adakah mereka "Sayang Lah, Boleh Blah", "Takut Lah, Boleh Blah" atau calon kepimpinan tertinggi dihari muka? Yang penting UMNO... bukan Lah...

Monday, March 17, 2008

Akhirnya Bermula Kesinambungan Semangat Melayu Tua Ke Muda

Pada zaman awal kebangkitan kuasa Khairy Jamaluddin, telah dikemukakan oleh para pendukungnya yang muda segenerasi dengannya bahawa ini melambangkan kebangkitan 'Golongan Muda' baru dalam UMNO. Kononnya golongan muda pimpinan Khairy ini membawa aspirasi baru yang lebih sesuai dengan zaman menjangkau 2020, dan dalam usaha membawa masyarakat Melayu ke era baru yang lebih makmur, nescaya akan berlaku pertembungan dengan 'Golongan Tua' dalam UMNO.

Malang bagi Khairy dan pendakyah-pendakyah beliau, generasi beliau, malah kebanyakan golongan di bawah 40 tahun yang menjadi sasaran telah menolak propaganda tersebut. Soalnya, agak susah untuk majoriti golongan muda Melayu untuk menerima dakyah yang:
  1. Bertunggakkan tuduhan akan kelemahan 'Golongan Tua' yang tidak berdosa malah banyak menabur budi kepada generasi Melayu muda.
  2. Didukung oleh golongan minoriti elitis yang berbuai emas, disusu madu ratu yang menunjuk-nunjukan kepandaian berbuktikan kelulusan institusi luar negara sambil berperisaikan surat nikah atau sijil kelahiran sebenarnya.
  3. Melaga-lagakan tua serta muda, lama dan baru, budi dengan angan-angan masa hadapan.

Orang Melayu suatu masyarakat yang bersopan-santun. Dalam perbalahan bagaimana sekalipun, tikaman lidah tidak meluka hati, malah lebih rela rasa tidak puas hati disuratkan sahaja supaya boleh penegur mengalihkan bahasa kepada yang lebih pekerti demi menjaga silaturahim.

Dakyah Khairy mungkin tak termakan dek generasinya, tetapi malang sekali, beliau dan anasir-anasir di sekelilingnya telah berjaya mempengaruhi golongan kepimpinan Melayu teratas bahawa merekalah yang sah mewakili generasi muda. Malang sekali kepada pemimpin Melayu UMNO, kerana hasilnya adalah penolakan sebulat suara generasi muda terhadap intipati agenda Khairy yang dibawa oleh rejim Pak Lah sepanjang 4 tahun seperti dibuktikan oleh keputusan PRU-12.

Menarik sekali, hasil penolakan mendadak terhadap kerajaan Pak Lah/Khairy, kini suara-suara Muda yang lebih sah diterima-pakai sebagai wakil sudah mula berganding dengan suara Tua yang berbudi dan disegani. Prosa sopan Mukhriz dibayangi oleh surat yang lebih sulit dari pemimpin Tua sebuah Bahagian UMNO. Usul mengadakan Mesyuarat Agung Tergempar oleh Tungku Razaleigh Hamzah (KuLi) pula sudah dibayangi oleh kepimpinan Pemuda UMNO Johor.

Inilah gandingan Tua-Muda yang dinanti-nantikan, yang bakal membina bersama, yang bukan propaganda semata-mata. Gandingan beginilah yang merupakan tanda kesinambungan semangat perjuangan Melayu masih berbara sayup-sayup, menanti hembusan nafas baru dari kepimpinan generasi lama ke baru.

Gandingan ini kini wujud atas agenda menggesa mengunduran kepimpinan Pak Lah/Khairy sebelum binasa UMNO dan masa depan Melayu di bumi Malaysia.

Harapan penulis yang tidak seberapa ini adalah semoga gandingan sebegini juga bakal mengembalikan kegagahan dan kemakmuran masyarakat Melayu... Dulu, Kini dan Selamanya.

Tangential Malay Search Results