Tuesday, April 14, 2009

Najib Harus Menunjukkan Kekuatan Ala Obama, Mengelak Flip-Flop & Rebut Kuasa

Saya baru menyaksikan siaran lansung ucapan Presiden Barrack Obama di Universiti Georgetown menerusi CNBC. Dalam masa ~45 minit, beliau berjaya menerangkan sebab ekonomi Amerika dan dunia kini merudum, rancangan pemulihannya sekaligus menyangkal kritikan terhadap gerak-kerja pentadbirannya sepanjang 3 bulan pertama memerintah.

Kritikan terhadapnya semestinya akan terus ada. Namun, penjelasan telus berlandaskan keputusan serta gerak-kerja berpaksikan visinya yang jitu cukup meyakinkan. Ini penting dan saya rasa berhasil memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai Presiden.

Pada saya, saranan yang para pemimpin negara kita, terutama sekali Datuk Seri Najib haruslah menimba pengajaran dari pendekatan Obama untuk menghadapi krisis ekonomi dan sosial di Malaysia. Kejayaan menangani isu sosial dan ekonomi inilah akan membawa kejayaan politik untuk pentadbiran DS Najib.

1Malaysia kini sedang digembar-gemburkan sebagai dialog sosial yang penting. Mekanisma ini diharapkan akan membawa kembali perpaduan antara kaum, namun ianya satu pendekatan yang memerlukan masa untuk diolah, diwar-warkan dan diterapkan kejiwa masyarakat Malaysia.

Sementara menanti 'masak'nya dialog 1Malaysia, DS Najib perlu meneruskan usaha menjanakan kembali ekonomi negara. Fokus terhadap ekonomi seharusnya akan membuahkan hasil yang lebih awal. Ia juga akan memberi peluang untuk DS Najib menunjukkan kepimpinannya sepertimana dilakukan oleh Obama.

DS Najib sudah pasti mengelakkan diri dari politik 'flip-flop' Pak Lah, tetapi kekuatan politiknya juga akan terserlah sekiranya beliau mengelakkan diri dari dijerat ke dalam permainan politik 'rebut kuasa' ala Anwar Ibrahim.

Fokus kepada masalah ekonomi dengan pelan perlaksanaan yang jitu adalah apa yang diperlukan untuk meyakinkan rakyat sekarang. Lambat-laun, kejayaan dalam menangani isu ekonomi digandingkan dengan dialog sosial demi perpaduan semestinya akan mengatasi agenda politik rebut kuasa Anwar yang kian basi...

PS: Saya masih di Hospital dan memblog dengan serba kekurangan menggunakan HTC TytnII

1 comment:

Quantum Metal Consultant said...

Bolehkah Najib selesaikan masalah politik dalaman dengan memberi fokus kepada permasalahan ekonomi atau mungkin Najib akan terjunam dengan kucar kacir politik semasa dan ekonomi menjadi makin buruk.

Najib perlu secara terbuka mengistiharkan mahu bersatu dengan PAS untuk mengelak perpecahan Islam yang lebih ketara dan politiking yang berterusan di mana komponen BN merasa terlalu kuat untuk terus mengugut.

Apa untungnya ? Saya ada nyatakan di blog saya. Terima kasih.

Tangential Malay Search Results