Sunday, October 18, 2009

UMNO Meniti Perubahan? Analisa Perjalanan Perhimpunan Agung UMNO, Oktober 2009

Baru 3 hari selesai Perhimpunan Agung UMNO, sudah ramai bertanyakan pendapat jurublog ini mengenai perjalanannya, intipatinya dan halatuju yang diperjelaskan oleh Presiden parti, DS Najib. Sebagai seorang perwakilan 'G7' kali pertama ke Perhimpunan Agung, saya dapat merasai keceriaan suasana apabila perwakilan meluluskan pindaan-pindaan perlembagaan yang berniat menjadikan UMNO lebih demokratik, sekaligus membendung rasuah atau 'politik wang'.

Namun setelah merenung sejenak, mungkin ketiga-tiga persoalan yang diajukan harus dijawab satu-persatu supaya kita tidak terlalu tertumpu kepada perubahan teknikal sahaja.

Perjalanan

Perjalanan Perhimpunan Agung UMNO pada kali ini cukup lancar, baik dari segi logistik, penyusunan perbahasan mahupun penjadualan tarikh. Ketiga-tiga ini bukanlah isu remeh, malah, boleh dikatakan perjalanan Perhimpunan Agung yang tidak dirancang dengan penelitian khusus terhadap perkara-perkara tersebut boleh membahayakan kedudukan politik parti.

Contohnya, pada Perhimpunan Agung 2007, kesilapan menjadualkan tarikh persidangan sehinggakan hari terakhir jatuh tepat pada hari perayaan Hindu yang paling penting, Deepavali, telah membawa kesan negatif terhadap pandangan masyarakat tersebut kepada UMNO. Lebih buruk lagi, apabila DS Samy Vellu dilaporkan tidak melafazkan rasa tidak puas hati masyarakat tersebut malah menerima pertindihan tarikh tersebut, ia menjejaskan juga kredibiliti beliau.

Tidak cukup dengan itu, pada Perhimpunan Agung yang sama juga, Naib Ketua Pemuda UMNO sewaktu itu, KJ, telah mempertikaikan 'monopoli' pengagihan surat-khabar oleh kaum India yang beragama Hindu mahupun Islam. Dibilangnya, sebagai parti politik, sistem pengagihan akhbar tersebut merupakan suatu bidang 'strategik', maka haruslah dikuasai oleh orang-orang Melayu! Kebiadaban ini telah menyemarakkan lagi tunas kebencian kaum India terhadap UMNO.

Ternyata, perjalanan Perhimpunan Agung kali ini tidak menempuh ranjau yang sama, malah, dilihat bahawa ia dipendekkan sehari dari lazimnya, pasti sebagai tanda hormat 1Malaysia kepada kaum Hindu, memandangkan Deepavali jatuh pada tarikh 17 Oktober 2009, yakni sehari selepas tamat persidangan. Hal beg perwakilan yang cantik serta cukup, perhotelan kemas dan sebagainya pun, toksah bimbang jugalah kali ini!

Intipati

Dari segi intipati, perubahan jelas, walaupun tidak terlalu mendadak, kelihatan kali ini dari keberanian memilih begitu ramai pembahas atas dasar kelantangan serta keterbukaan menkritik UMNO serta kepimpinannya sendiri. Contoh yang terbaik bagi saya adalah ucapan Dato' Ishak Ismail, yang bukan sekadar menegur, tetapi menyingkap ke sejarah kekalahan BN pada PRU-12 dengan penuh kritis, namun disampaikan dengan nada yang 'lantang berseloroh'!



Kalaulah UMNO sedia berani menerima teguran seperti ini bertubi-tubi sambil berjaya melahirkan pemimpin sepetah bahasa seberani kata umpama Dato' Ishak tersebut, nescaya ia akan berjaya meniti perubahan.

Jatidiri kepimpinan baru parti juga menyerlah apabila kita meniliti pindaan perlembagaan UMNO yang memansuhkan kuota kelayakan pertandingan jawatan dan cuma memberi syarat minima bagi mengelak dari musuh ber'payung-terjun' mengambil kesempatan atas keterbukaan baru UMNO. Pindaan tersebut membolehkan seorang AJK Bahagian biasa sekalipun untuk mendaftar diri bagi bertanding ke jawatan Presiden!

Malah, jurublog ini difahamkan bahawa apabila cadangan awal gantian kuota pencalonan dengan syarat kelayakan merebut jawatan dibawa ke Majlis Tertinggi, kebanyakan dari pindaan yang dicadangkan untuk 'melindungi' penjawat Presiden dan Timbalannya telah ditolak sendiri oleh DS Najib.

Tambah lagi, pindaan yang memberi kelayakan otomatik Ketua-Ketua Sayap (Wanita, Pemuda dan Puteri) ke Mesyuarat Agung Bahagian dan kenaikan jumlah AJK lantikan dari pergerakan Wanita bakal mempermudakan UMNO sambil memberi pengiktirafan akan peranan sayap-sayap penggerak menjelang PRU-13.

Halatuju

Ucapan dasar DS Najib pada pembukaan telah berjaya menjelaskan beberapa persoalan tentang dasar-dasar beliau. Dari membuat pemerhatian sendiri tentang perkara ini, saya merujuk pembaca kepada penulisan Ayah yang meneliti ucapan DS Najib dari kacamata beliau sebagai seorang veteran UMNO di sini.

Jurublog ini juga agak berminat dengan mesej tersirat yang diperagakan kepada perwakilan dengan duduknya 3 orang pegawai lantikan pilihan DS Najib di pentas dewan sepanjang tempoh persidangan.
  1. Pengekalan YB Datuk Seri Tengku Adnan sebagai Setiausaha Agung menunjukkan kesediaan Najib menerima khidmat veteran UMNO asalkan mampu masih cemerlang.

  2. Perlantikan YB Dato' Ahmad Maslan sebagai Ketua Penerangan menunjukkan usaha DS Najib mempermudakan kepimpinan parti.

  3. Menarik sekali, pilihannya sebagai Bendahari UMNO, YB Datuk Seri Husni Hanadzlah yang terkenal bersih dari kecomotan rasuah, melambangkan betapa beliau mementingkan usaha membenteras gejala politik wang di dalam parti. (Sesuai dengan itu juga, DS Husni kini menjawat kedudukan Menteri Kewangan II)

Pada ucapan penggulungan, DS Najib juga menjawab desakan, khususnya dari Pemuda, supaya ditingkatkan peruntukan wang, terutama kepada sayap tersebut, untuk menggerakkan program. DS Najib telah MENOLAK desakan tersebut, sambil memberi nasihat yang masih ada terlalu banyak perlu dibuat oleh kepimpinan UMNO, terutama di akar-umbi, yang tidak memerlukan peruntukan, seperti tidak sombong dan sedia beramah mesra secara langsung dengan pengundi.

Ternyata DS Najib mahukan UMNO berubah, terutama sekali dengan melepaskan UMNO dari ketagihan duit sebagai penyelesai seribu-satu masalah. Sememangnya duit bukannya penyelesai, malah tempohari, seringkali membawa masalah kepada UMNO. Halatuju UMNO supaya berkhidmat dengan sukarela dan terbuka kepda rakyat telah diperjelaskan. Kini terpulanglah kepada ahli UMNO untuk menyahut cabaran Presidennya...

Wallahualam...

1 comment:

Generasi Pejuang Bangsa said...

sy setuju dengan pandangan sdr .

UMNO perlu pemimpin yang berani dan lantang seperti yang disuarakan oleh Datuk Ishak Ismail..

sy ingin bertanya sdr, adakah pendapat sdr mengenai cadangan usul dr perwakilan PP yang mahu UMNO menubuhkan Yayasan UMNO . Yayasan ini ditubuhkan untuk membantu ahli2 UMNO sendiri yang memerlukan. Contohnya ,dari segi pendidikan ,yayasan ini boleh beri wang bantuan kepada anak ahli UMNO yg mendapat tawaran IPT

selain itu, kalau kita ke bab kesihatan ,yayasan umno boleh membantu ahli umno yang sakit . Ini semua boleh mendekatkan UMNO dengan rakyat dan boleh menarik rakyat masuk ke UMNO.

kelebihan yayasan ini adalah ia boleh menjenamakan UMNO sendiri di hati rakyat..

Tangential Malay Search Results