- Namewee kelihatan seakan tidak menyedari kesilapan yang dilakukannya. Beliau dari awal lagi menyatakan niatnya adalah untuk menentang perkauman menerusi kepakaran medianya.
- Namewee menulis dalam bahasa Cina dahulu. Malah, blognya memang mengamalkan bahasa Cina sebagai bahasa utama. Ini mungkin boleh dibilang rasis kerana ia mengecualikan mereka yang bukan berbahasa Cina untuk menikmati penulisannya, namun ia juga ironis memandangkan pernyataan Namewee yang beliau anti-perkauman. Lagipun, ini pilihan peribadi untuk blog sendiri.
- Melalui link ke Facebook, terlihat beliau mempunyai >230,000 pengikut. Apa? Namewee ada >230,000 pengikut di Facebook! Rasanya Puteri UMNO ahlinya pun tak seramai itu! Itu dah ~0.8% rakyat Malaysia, boleh menentukan keputusan pilihanraya di banyak tempat!
Selang seminggu, Namewee menerima pelbagai teguran, amaran, malah terpapar dalam TV serta ditemuramah Polis berjam-jam. Namun Namewee tak kelihatan seperti beliau sedar akan kesalahannya. Walaupun beliau belum lagi diberikan apa-apa hukuman, jumla pengikut Facebooknya semakin mendadak meningkat. Namewee kini mempunya >300,000 pengikut (1.1% penduduk Malaysia!) di halaman Facebooknya.
Mungkinkah terlalu banyak tumpuan telah diberikan kepada perbuatan Namewee sebagai seorang individu dan perlumbaan suara menghentam perbuatannya. Namun beliau masih tidak merasa bersalah. Malah beliau didukung 300 ribu pengikut di Facebook, majoritinya golongan belia Malaysia! Bukankah seharusnya tumpuan diberikan kepada sebab kenapa Namewee boleh begitu popular walau atau mungkin kerana beliau begitu dibidas?
Sekitar masa yang sama, seorang lagi blogger bergelar Hassan Skodeng diheret ke mahkamah atas tuduhan merosakkan nama baik seorang tokoh koprat negara melalui fitnah di internet. Namun apabila dibaca, ternyata coretan kelakar beliau sama-sekali tak masuk akal sehingga pembaca pasti sedar yang ia hanya buat-buatan berunsur sindiran. Apakah mungkin sindiran tersebut terkena sasaran terlalu tepat sehingga tokoh koprat GLC tersebut tergerak untuk bertindak-balas?
Dalam kes Hassan Skodeng juga, terlihat simpati golongan Belia, terutama sekali para pelayar alam maya, lebih kepada Hassan. Amnya, golongan Belia memahami seni bahasa sindiran berjenaka yang digunakan untuk memaparkan kerakusan seorang tokoh koprat. Tidak ada yang merasakan salah tokoh koprat tersebut dipaparkan demikian, kerana ia sesuai dengan imej 'stereotype' atau kelaziman tanggapan Belia terhadap 'tokoh-tokoh koprat' negara.
Dalam kedua-dua kes ini, yang dipersalahkan adalah pempelopor media muda di bawah umur 40 tahun. Yang dipersalahkan adalah mesej mereka yang difikirkan kurang sesuai pemaparannya, sama ada kerana bahasanya terlalu kesat atau sindirannya meruncing tajam. Namun, bahasa dan cara yang digunakan adalah yang sudah menjadi kelaziman dipergunakan oleh Belia untuk menjerit rasa hati serta melontar bantahan ke arah mereka yang 'berkuasa'.
Tindakan pihak berkuasa ke atas Namewee dan Hassan Skodeng tanpa mengakui intipati atau mesej yang dibawa akan dilihat bukan sekadar hukuman terhadap individu berkenaan, tetapi juga penolakkan luahan hati dalam realiti media persekitaran Belia pasca 53 tahun Merdeka. Adakah mungkin dalam apa-apa kesalahan yang dituduh terhadap mereka, ada juga bibit-bibit kebenaran yang harus mengambil kira?
Malah, menurut peraturan MCMC sendiri, kemungkinan besar Hassan Skodeng akan didapati tidak bersalah pun dalam perbuatannya, cuma salah di mata tokoh koprat yang terguris sindirannnya. Manakala Namewee pula... jurublog ini pun sebenarnya tak setuju dengan cara beliau, terutama perbuatan-perbuatannya terdahulu, seperti mengherdik melulu kakitangan TNB dan mempermainkan lagu Negaraku. Namun anggapan 300,000 pengikutnya harus difahami.
Inilah realiti media yang dipelopori oleh golongan Belia pasca 53 tahun Merdeka. Merdeka bukan sekadar mengibar, menaikkan, melukis dan mencatkan Jalur Gemilang sahaja ke mana-mana. Merdeka harus membawa makna lebih dari itu. Makna yang melampaui pembangunan fizikal atau kemakmuran semata-mata. Merdeka membawa peluang untuk masyarakat Malaysia berkembang kematangan dan identitinya.
Identiti Belia Malaysia Merdeka kini sedang diolah menerusi media kita. Soalan bagi pihak berkuasa semestinya adalah, adakah mereka mahu terlihat sebagai penghalang perkembangan identiti ini sehingga ditolak oleh golongan Belia? Atau adakah pihak berkuasa bersedia duduk mencari kesefahaman bersama sebagai 'orang dewasa' yang memimpin tanpa mengekang perkembangan identiti Belia Malaysia Merdeka? 1Malaysia hanya kan tercapai jika kita duduk bersama...
2 comments:
Saya sangat bersetuju dengan pandangan sdra.
Biarlah belia hari ini mencorakkan masa depan mereka.
Bagaimanapun, apa bentuk yang hendak dicorakkan, mestilah tidak terkeluar daripada Perlembagaan Negara.
Kerana di bawah payung perlembagaan inilah kita mendidik mereka dan kita berharap mereka menghasilkan kehidupan yang lebih baik lagi di masa hadapan untuk semua rakyat Malaysia.
Salam Aidil Fitri
Maaf Zahir Batin
Post a Comment