Sunday, March 11, 2012

Macam Mana Nak Terbang Kalau Sayap Cacat

Dalam masa kehangatan pertandingan pemilihan UMNO 2008, Tan Sri Tunku Ahmad Rithaudeen telah mencadangkan agar sayap Pemuda dan Puteri UMNO dibubarkan kerana pada hemah beliau, kelemahan akibat rasuah pada UMNO berputik dari pertandingan jawatan kedua-dua sayap ini. Bidasan kembali yang sering jurublog dengari dari para perwakilan Pemuda pada masa itu adalah,"Kalau tak dak sayap, macam mana nak terbang?"

Alhamdulillah, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bakal berundur dari jawatan Menteri sejurus tamat tempoh senator beliau. Namun saya rasa kecewa yang beliau merasakan ini suatu kompromi yang adil bagi membolehkannya kekal sebagai Ketua Wanita UMNO. Mana boleh macam ni. Kedudukan beliau sekarang begitu cacat sekali sebagai pemimpin yang sedia menggunakan pentas parti serta kerajaan untuk mempertahankan kecacatan moral suaminya dalam pengendalian amanah dana RM250 Juta NFC.

Datuk Seri Shahrizat, sebagai seorang pemimpin yang antara paling kanan dalam parti, seharusnya sedia mengorbankan nyawa politiknya demi masa depan parti, bukan mencari jalan untuk terus hidup di tampuk kuasa sementara sayap Wanita parti terus tercacat sama nama baiknya atas kehadiran beliau yang berterusan sebagai Ketua! Kesediaan beliau melakukan demikianlah baru akan memulihkan balik nama baiknya sendiri dan membantu memperbaiki kredibiliti parti UMNO serta BN menjelang PRU13.

Datuk Seri Shahrizat tak perlu menenung jauh. Lihat sahaja sayap Pemuda yang masih lagi dibebani seorang Ketua perasuah. Walaupun KJ dan para penyokongnya kelihatan begitu giat memulihkan namanya, namun pemantauan terkini yang diarahkan oleh beliau sendiri menunjukkan ahli-ahli Pemuda pun masih sangsi dan kemungkinan besar akan memilih tokoh lain untuk memilih Pemuda di masa hadapan. Walau KJ berkorban untuk menjadi contoh dengan menyertai Wataniah sekalipun, ditertawakan sebagai 'main askar'!

Apatah lagi rakyat luar yang hauskan bukti tegar kredibiliti UMNO dan Barisan Nasional untuk memunahkan rasuah dari perjalanan kerja kerajaan?

Datuk Seri Shahrizat patut berundur juga dari semua jawatan parti demi masa depan sayap Wanita dan juga nama baik keluarganya sendiri. Mungkin dengan pengunduran beliau, ia akan memberi iktibar kepada penyokong kuatnya KJ juga untuk mengundur diri. Kerana sesungguhnya, kalau ada sayap pun, kiranya cacat, bukan sedar tak boleh terbang, berat nak diusung sayap kesini-sana, dan kiranya melarat, berpenyakit sehingga ke badan parti pula. 

No comments:

Tangential Malay Search Results