Thursday, March 15, 2007

Mari Kita Sama-Sama Menasihati YAB Sebelum Ekonomi Malaysia Jahanam Lagi

Sejurus keluar bahan tulisan Yang Angkuh Bongkak (YAB) Khairy Jamaluddin di halaman Mingguan Malaysia tanggal 25 Feb 2007, mengetengahkan pendapat yang ekonomi kita memang semakin kencang hasil usaha kerajaan pimpinan bapa mertuanya, harga saham Bursa Malaysia turun menjunam pada minggu berikutnya.

Ini bukanlah petanda kehebatan kata-kata YAB Khairy sehingga pelabur Bursa boleh ditakutkan oleh tindak-tanduk beliau. Hanya sekadar menunjukkan yang mungkin beliau belum cukup ahli dalam hal ekonomi untuk memberi pendapat yang sah boleh diterima.

Kalaulah YAB benar-benar ahli dalam hal ekonomi, beliau pasti sedar yang sebenarnya melonjak naiknya Bursa Malaysia sebelum ini kerana pelabur jangka-masa pendek yang lari dari pasaran saham Thai telah mengalihkan wang mereka secara mendadak dari negara tersebut ke Malaysia. Pengalihan ini pun ternyata untuk jangkamasa singkat kerana saham kita sudah terlalu murah akibat kurang pelabur jangkamasa panjang baru di Malaysia dibandingkan negara-negara jiran.

Maka di manakah kesahihan pendapat YAB Khairy, apabila hujahnya yang ekonomi Malaysia kukuh berdasarkan analisa yang kurang jitu. Terlanjur pula beliau mempertahankan kenaikan harga minyak, tol dan sebagainya sebagai sah walaupun hasilnya rakyat mengalami keperitan secara mendadak.

Yang membimbangkan adalah, dalam kegagalan usaha YAB Khairy menunjukkan keahlian dalam hal ekonomi, apabila beliau sebenarnya tiada berkemampuan besar, kata-katanya membawa risiko seperti:

  1. Menimbulkan tanda-tanya tentang kesahihan pendapatnya yang betul, seperti apabila beliau menyatakan betapa perlunya kita membantah perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat (USTFA). Ini betul, tetapi kata-kata YAB Khairy tidak membantu sekiranya beliau dilihat pincang keahlian ekonominya.

  2. Tindak-tanduk YAB Khairy mungkin menimbulkan tanda-tanya akan kebolehan generasinya untuk mewarisi tampuk kepimpinan negara kelak, kerana walaupun beliau tidak mewakili generasi beliau, mungkin ada yang berfikiran demikian.

Oleh itu, saya menyarankan kepada hamba-hamba Allah yang sudi, nasihatkanlah beliau untuk membaca dan belajar lebih lagi tentang hal ekonomi sebelum beraksi sebagai ahli.

Sebagai seorang yang disanjung kebijaksanaannya, YAB Khairy patut sedar yang walaupun beliau seorang pemegang ijazah Politik, Falsafah dan Ekonomi (PPE) dari Oxford, ini hanya ijazah Sarjana Muda yang mengajar 1/3 sahaja dari kandungan bidang Ekonomi yang ada pada kelulusan Ekonomi lain. Ijazah Sarjana beliau pula bukanlah dalam hal ekonomi.

Malangnya, pengalaman kerja YAB Khairy sebelum ini pun kebanyakannya dalam hal kewartawanan, dan dengar kata yang beliau diambil menjadi Pegawai Khas pun kerana kebolehannya untuk mengarang ucapan, bukannya kerana keupayaan dalam bidang ekonomi. YAB patut mengakui yang tugas-tugas beliau di ECM-Avenue pun sekadar dalam hal Perhubungan Awam (PR) semata-mata, jadi manalah sangat pengalaman bidang ekonominya.

Kalaulah pemain boneka utama negara a.k.a. Uncle Kali berupaya mengajar YAB Khairy, tak apalah juga. Tetapi memandangkan dalam hal penulisan dan kewartawanan pun YAB kelihatan lebih ahli dari Uncle Kali yang ternyata bukanlah seorang wartawan yang hebat, apalah sangat yang upaya diajar oleh Uncle kepada YAB?

Dalam keinsafan YAB Khairy, kami menasihatkan beliau membaca buku-buku tersebut untuk memahami apa itu ekonomi dan apakah asas pemikiran yang harus ada dalam usaha membangunkan negara:

Mungkin selesai itu, YAB Khairy akan berupaya membaca teks yang lebih rumit, sejurus itu menjadi lebih upaya untuk memberi pandangan tetang hal ekonomi. Namun, ada baiknya mungkin sekiranya beliau menasihati teman-temannya di Khazanah dan GLC-GLC untuk membaca buku-buku tersebut dan yang dibawah, selain mengarah dan mengherdik mereka dalam pelbagai hal lain:

Sekadar inilah keupayaan saya, untuk mengajukan nasihat sahaja. Adalah diharapkan mana-mana hamba Allah yang mengajukan saranan saya kepada YAB Khairy juga mengutarakan niat ikhlas saya. Sesungguhnya, adalah untuk kebaikan sejagat warga Melayu dan Malaysia yang kemampuan YAB dalam hal ekonomi ditingkatkan lagi dari kadar yang sedia-ada.

No comments:

Tangential Malay Search Results