Monday, April 19, 2010

PRK Hulu Selangor Membahayakan Kesejahteraan Rakyat

Sudah cukup lama saya berdiam diri dalam hal ini tetapi sehingga tidak tertahan lagi. Saya merasakan begitu gundah kebelakangan ini kerana kelihatan media arus pelbagai lebih menumpukan perhatian kepada PRK Hulu Selangor sekaligus mengabaikan kesejahteraan rakyat. Tuduhan saya berdasarkan begitu ringkas atau terabainya laporan mengenai perkembangan Gelombang Kedua H1N1 di kalangan rakyat negara kita!

Semua rakyat Malaysia kini pasti sudah disentuh oleh Gelombang Kedua ini. Kalau bukan keluarga rapat yang terkena, pasti kawan atau saudara sekampung sudah, khususnya melalui anak yang dijangkiti mahupun disyaki mengidap H1N1. Jurublog mengetahui begitu ramai anak-anak yang kini sedang dikuarantin malah anak bongsu saya sendiri menerima ubat Tamiflu sebagai langkah berjaga-jaga, walaupun alhamdulillah kini ternyata beliau tidak lagi dihinggapi H1N1.

Mungkinkah apa yang dituduh oleh jurublog ini terlalu tajam dan kurang adil terhadap media pelbagai arus, tetapi tidakkah terlalu ketara, begitu mendadak perbezaannya antara pemantauan H1N1 dahulu berbanding dengan Gelombang Keduanya yang dikhuatiri lebih merbahaya? Adakah kenyataan media dan saranan TS Ismail Merican mengenai H1N1 tidak sepenting lompatknya parti Datuk Dr Halili Rahmat? Tahulah PRK sekarang berita hangat, tetapi...

Adakah perlu ada kematian dahulu dari H1N1 sebelum sensasinya patut dipaparkan pada muka depan akhbar? Bagaimana dengan tanggungjawab media kepada masyarakat? Media apa punlah, termasuk blog seperti ini! Janganlah kerana ghairah PRK kita terlupa tanggungjawab kepada masyarakat. Rakyat lebih menghargai usaha menyelamatkan nyawa, terutama yang kecil serta tersayang, dari suatu lagi drama merebut kuasa...

No comments:

Tangential Malay Search Results