Monday, March 17, 2008

Akhirnya Bermula Kesinambungan Semangat Melayu Tua Ke Muda

Pada zaman awal kebangkitan kuasa Khairy Jamaluddin, telah dikemukakan oleh para pendukungnya yang muda segenerasi dengannya bahawa ini melambangkan kebangkitan 'Golongan Muda' baru dalam UMNO. Kononnya golongan muda pimpinan Khairy ini membawa aspirasi baru yang lebih sesuai dengan zaman menjangkau 2020, dan dalam usaha membawa masyarakat Melayu ke era baru yang lebih makmur, nescaya akan berlaku pertembungan dengan 'Golongan Tua' dalam UMNO.

Malang bagi Khairy dan pendakyah-pendakyah beliau, generasi beliau, malah kebanyakan golongan di bawah 40 tahun yang menjadi sasaran telah menolak propaganda tersebut. Soalnya, agak susah untuk majoriti golongan muda Melayu untuk menerima dakyah yang:
  1. Bertunggakkan tuduhan akan kelemahan 'Golongan Tua' yang tidak berdosa malah banyak menabur budi kepada generasi Melayu muda.
  2. Didukung oleh golongan minoriti elitis yang berbuai emas, disusu madu ratu yang menunjuk-nunjukan kepandaian berbuktikan kelulusan institusi luar negara sambil berperisaikan surat nikah atau sijil kelahiran sebenarnya.
  3. Melaga-lagakan tua serta muda, lama dan baru, budi dengan angan-angan masa hadapan.

Orang Melayu suatu masyarakat yang bersopan-santun. Dalam perbalahan bagaimana sekalipun, tikaman lidah tidak meluka hati, malah lebih rela rasa tidak puas hati disuratkan sahaja supaya boleh penegur mengalihkan bahasa kepada yang lebih pekerti demi menjaga silaturahim.

Dakyah Khairy mungkin tak termakan dek generasinya, tetapi malang sekali, beliau dan anasir-anasir di sekelilingnya telah berjaya mempengaruhi golongan kepimpinan Melayu teratas bahawa merekalah yang sah mewakili generasi muda. Malang sekali kepada pemimpin Melayu UMNO, kerana hasilnya adalah penolakan sebulat suara generasi muda terhadap intipati agenda Khairy yang dibawa oleh rejim Pak Lah sepanjang 4 tahun seperti dibuktikan oleh keputusan PRU-12.

Menarik sekali, hasil penolakan mendadak terhadap kerajaan Pak Lah/Khairy, kini suara-suara Muda yang lebih sah diterima-pakai sebagai wakil sudah mula berganding dengan suara Tua yang berbudi dan disegani. Prosa sopan Mukhriz dibayangi oleh surat yang lebih sulit dari pemimpin Tua sebuah Bahagian UMNO. Usul mengadakan Mesyuarat Agung Tergempar oleh Tungku Razaleigh Hamzah (KuLi) pula sudah dibayangi oleh kepimpinan Pemuda UMNO Johor.

Inilah gandingan Tua-Muda yang dinanti-nantikan, yang bakal membina bersama, yang bukan propaganda semata-mata. Gandingan beginilah yang merupakan tanda kesinambungan semangat perjuangan Melayu masih berbara sayup-sayup, menanti hembusan nafas baru dari kepimpinan generasi lama ke baru.

Gandingan ini kini wujud atas agenda menggesa mengunduran kepimpinan Pak Lah/Khairy sebelum binasa UMNO dan masa depan Melayu di bumi Malaysia.

Harapan penulis yang tidak seberapa ini adalah semoga gandingan sebegini juga bakal mengembalikan kegagahan dan kemakmuran masyarakat Melayu... Dulu, Kini dan Selamanya.

No comments:

Tangential Malay Search Results