Showing posts with label BN. Show all posts
Showing posts with label BN. Show all posts

Monday, April 29, 2013

Desperation Mounts For Some As Election Nears

It appears desperation has set in for Pakatan and some of its fanatical followers. Just this morning as I dropped my kids off at school, I saw the following banner being defaced by what I assume is a Pakatan supporter who was driving a Blue Suzuki Swift with K (for Kedah) plates. He was doing this by pasting 'ABU' or 'Asal Bukan UMNO' stickers across the part of the banner saying BN.

This appeared to me to be a desperate move in large part as I did not think it was done with much thought, as:

1 - The act is of course illegal just as any act to sabotage legitimate campaign activities. Wanna compete, do it legally lah brader!

2 - The campaign Asal Bukan UMNO is a little irrelevant seeing as UMNO is not competing in this election, BN is! Perhaps they are frustrated now that all that ABU campaign materials they have prepared are wasted being redundant!

3 - The BN candidate is Segambut where this poster was defaced isn't even from UMNO! Jayanthi, the BN candidate for Segambut is from Gerakan? Is the saboteur even from Segambut or an outside influence?

Signs of desperation also abound with personal attacks by DS Anwar Ibrahim on Tun Dr M in Segamat a few days ago. I suppose if Lim Kit Siang could be booed out of a coffee shop including by Chinese voters during his walkabout in Gelang Patah, Pakatan have reason to panic, but that is no excuse for bad behaviour!

Voters will not support ill mannered leaders who cannot control the behaviour of their fanatical supporters!

Published with Blogger-droid v2.0.10

Monday, April 26, 2010

Pengajaran Dari 'Kekalahan' BN Dan 1Malaysia Di Hulu Selangor

Bersambung dari penulisan bahasa Inggeris tentang perkara ini, berikut merupakan luahan hati jurublog tentang apa yang tak kena tentang usaha BN di Hulu Selangor. Di harap ada yang berminat untuk mengambil perhatian dan iktibar dari kalangan pembaca.

Menarik sekali yang tinjauan jurublog tetang 'kegagalan' BN dan gagasan 1Malaysia dalam menang PRK Hulu Selangor dipersetujui peninjau lain. Menurut tinjauan penulis Aganda Daily, BN menang hasil kenaikan jumlah pengundi yang keluar membuang undi berbanding PRU-12. Malah, undi yang diterima oleh PKR lebih tinggi dari calon sebelumnya. Data yang dikongsi sedemikian seharusnya menibulkan cemas kepada BN, memandangkan:
  1. PKR kini kelihatan semakin pincang bukan sahaja di peringkat nasional tetapi di Hulu Selangor sendiri sepanjang tempoh PRK dengan larinya para pemimpin dan wakil rakyatnya keluar parti.

  2. Faktor 'calon orang luar' yakni terpilihnya Datuk Zaid Ibrahim kelihatan tidak memberi kesan yang ketara kepada penyokong tegar PKR mahupun Pakatan di Hulu Selangor. Ternyata kepada ramai yang sekiranya Datuk Dr Hariri menjadi calon, kemenangan berkemungkinan di tangan PKR!

  3. Segala tohmahan dan cerca-merba yang dilontarkan kepada DS Anwar Ibrahim juga tidak nampak berkesan. Para pengundi seolah-olah sedia memilih parti pimpinan beliau walaupun penuh dengan kepincangan.

  4. Kerajaan negeri Selangor tidaklah begitu hebat pencapaiannya setakat ini. Malah, begitu banyak usaha pembangunan yang tertangguh dan isu seperti salah-langkah Pakatan menuduh SPRM sebagai pembunuh Teoh Beng Hock seharusnya merapuhkan kewibawaan kerajaan tersebut.

Namun, walaupun menghadapi semua yang diatas, PKR masih mampu mencabar! Paling membimbangkan sekali adalah penolakkan pengundi Cina di Hulu Selangor terhadap BN, termasuk gagasan 1Malaysia dan tawaran pembinaan Sekolah Cina di kawasan Parlimen tersebut! Sememangnya pengundi Cina lazimnya tidak begitu tegar sokongannya terhadap BN, berlandaskan ide yang kuasa BN perlu ada timbal baliknya. Namun, mungkin sokongan sekadar 50% telah diharapkan.

Tetapi terlihat sokongan Cina kepada calon BN merudum ke hanya ~25%! Sebab kenapa sokongan begitu lemah sekali dari golongan ini masih dalam pertimbangan. Ada yang menuding jari ke arah kelemahan MCA dan Gerakan meraih undi. Ada juga yang menyalahkan Kamalanathan kerana sudi melayan kumpulan pendesak Melayu, Perkasa, yang juga dikatakan menyebabkan penurunan undi India dari 70% ke 60% untuknya.

Penolakkan undi Cina, malah persoalan kenapa corak pengundian begitu dipengaruhi faktor bangsa, seperti kehendak pengundi Melayu, termasuk yang menyokong BN, supaya calon Melayu diketengahkan, haruslah mencemaskan DS Najib dan para penggerak gagasan 1Malaysia. Jelas, 1Malaysia masih belum dihayati secukupnya untuk menebus benteng perbezaan pendapat antara bangsa dalam pelbagai isu. Malah, mungkin akan timbul suara nakal untuk dikecualikan bangsa Cina dari agenda BN, dan ini haruslah dielakkan sama-sekali!

Tetapi jurublog sendiri merasakan dari segi menarik undi, ada intipati kempen BN yang mungkin tidak begitu berhasil dan harus dirombak semula. Usaha mendekati pengundi seperti berkempen rumah ke rumah dan terutama sekali gerak-kerja Datuk Ahmad Maslan yang memberi penumpuan kepada pengundi dari kawasan Felda adalha contoh-contoh positif yang harus dikekalkan. Tetapi, ada juga unsur kempen berbentuk negatif BN yang kini sudah kurang berkesan, seperti:

  1. Penggunaan bekas pemimpin pembangkang, khususnya bekas ahli PKR untuk 'mendedahkan' salah-laku DS Anwar Ibrahim, PKR dan Pakatan Pembangkang. Ini dilihat oleh ramai pengundi sebagai usaha peribadi melepaskan pekung di dada kerana kecewa dan marah terhadap DS Anwar. Maklumat yang dibawa oleh mereka mungkin menarik perhatian mereka, tetapi cara dan niat pembawa begitu mudah disangsi pendengarnya.

  2. Penumpuan keterlaluan terhadap kepincangan peribadi DS Anwar Ibrahim sepanjang kempen juga mungkin kurang wajar. Ada pengundi sehingga mempersoalkan relevan tidaknya DS Anwar diserang, dan kerana ianya bertalu-talu, begitu mudah untuk para pengundi berhenti mendengar lagi tentang kealpaan beliau. Mempersoalkan keperibadian calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim, mungkin lebih relevan, tetapi juga tak seharusnya melepasi had.

  3. Pemantauan terhadap pengundi luar, yakni 25% dari para pengundi, masih agak lemah. Malah, BN seolah-olah terkejut apabila faktor pengundi luar timbul kembali dan membahayakan kedudukan calon. Kebanyakan pengundi luar tidak berapa memperdulikan apa yang diperkatakan di padang kempen, tetapi lebih peka terhadap isu di tempat bermastautin atau isu-isu nasional. maka Datuk Zaid mungkin lebih relevan sebagai calon mereka!

  4. Walaupun BN telah berjaya mengelakkan dari turunnya pemimpin-pemimpin BN yang dicemuh rakyat seperti DS Samy Vellu dan YB Khairy Jamaluddin ke medan kempen mengelak tertolaknya BN oleh pengundi, masih ada lagi pemimpin BN yang cuma berdaya 'mentuba' usaha kita untuk menang. BN haruslah memastikan pemimpin sedemikian terus disisihkan dan pemimpin baru yang sedia diterima seperti Datuk Ahmad Maslan terus diketengahkan.

Dalam membuat pemerhatian di atas, jurublog tidak mengakui diri lebih tahu dari mereka yang menggerakkan kempen BN di Hulu Selangor. Tetapi ini menjadi sekadar sumbangan untuk memperbaiki peluang BN menjurus ke PRU-13 kelak. Risiko yang dihadapi BN masih tinggi dan penguasaan 2/3 Parlimen mahupun kerajaan negeri Selangor masih sekadar impian sekiranya kedudukan BN tidak terus diperbaiki.

Lagipun, jurublog pun pasti ada kesilapan semasa berkempen...


Thursday, December 17, 2009

Kepimpinan Melayu Menjelang Maal Hijrah

Tahun ini saya menyambut Maal Hijrah di Langkawi. Bukannya dengan perarakan anjuran UMNO, Belia atau mana-mana kumpulan masjid. Tetapi sambil membawa keluarga bercuti, menziarah tempat-tempat istimewa bagi saya sewaktu muda, seperti Lubuk Semilang yang masih dingin air terjunnya dan Hj Ramli, tak ubah lewat dihidang juadah lazatnya!

Dalam tempoh 10 hari sejak saya terakhir memblog, nampak gaya isu hangat yang berapung di jaring maya amnya masih sama, soal Kepimpinan Melayu. Pembaca mungkin bingung membaca hal ini, tetapi kepada saya jelas bahawa Kepimpinan Melayu merupakan isu lazim terapung malah tenggelamnya terlalu sekejap sebelum timbul semula sepanjang beberapa tahun sudah lamanya.

Kepimpinan Melayu lain dari Ketuanan Melayu. Ketuanan Melayu adalah retorik. Ia retorik yang ditimbulkan oleh golongan penulis dan pendidik nasionalis Melayu untuk menaikkan semangat bangsa Melayu. Ia tidak pernah diutarakan untuk diterima oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia, hanya khusus untuk orang Melayu menghayati sejarah sebagai tuan tanah bumi Tanah Melayu.

Terkadang pada suatu masa dahulu, Ketuanan Melayu tersisip sebagai retorik pembawa makna di dalam kursus-kursus Biro TataNegara (BTN). Mungkin dari sinilah sekalian dengan pembacaan penulisan retorik Melayu oleh bangsa-bangsa lain di Malaysia, Ketuanan Melayu mula dikelirukan dengan asas kepimpinan Malaysia sejak Merdekanya Malaya, yakni Kepimpinan Melayu.

Kepimpinan Melayu adalah ide bahawasanya sebagai kaum asal dan amnya teramai jumlahnya di Tanah Melayu, bangsa Melayu tidak boleh lari dari tanggungjawab memimpin di Malaysia. Asalnya Melayu memberikannya hak sejarah untuk memimpin manakala keramaian bangsa memberikan hak demokrasi yang mengutamakan suara teramai diikuti kehendaknya dahulu.

Kepimpinan Melayu mungkin terlihat jelas haknya untuk terus diterima di Malaysia, tetapi anggapan ini salah jika pemimpin Melayu hanya berpaut kepada hak sejarah mahupun ramainya Melayu semata-mata. Sebabnya adalah kerana Malaysia negara yang mempunyai golongan minoriti yang besar mahupun berpengaruh, terutama sekali dari segi ekonomi.

Islam sendiri mengajar yang hak sejarah mahupun majoriti sesuatu kaum tidak dengan sendiri menjadi asas kepimpinan sesuatu negara. Di Madinah, Rasulullah s.a.w. memerintah walaupun kaum Yahudi di situ dapat memberikan jalinan sejarah lebih lama bertapak di situ dan ramainya mereka sehingga boleh berpecah kepada 3 puak! Namun Rasulullah s.a.w. dan golongan Arab-Islam memerintah...

Pengajaran Rasulullah s.a.w. dan masanya memerintah di Madinah menunjukkan bahawa golongan minoriti boleh memerintah asalkan:
  1. Minoriti bersatu-padu sementara Majoriti berpecah-belah.
  2. Minoriti menunjukkan kebolehan memerintah lebih handal dari Majoriti.

Alhamdulillah, mungkin berdasarkan pengajaran inilah, UMNO pernah berjaya memimpin Perikatan kemudian Barisan Nasional sekaligus Malaysia sejak merdekanya; kerana pemimpin Melayu tidak leka atas dasar hak sejarah mahupun ramainya kita semata-mata. Jelas juga yang bergoncangnya Kepimpinan Melayu sekarang adalah kerana bangsa berpecah-belah politiknya dan kelemahan bersemarak apabila pentadbiran Pak Lah gagal mentadbir di mata rakyat.

DS Najib kini terlihat sedang berhati-hati mengukir jalan mengembalikan keyakinan rakyat kepada Kepimpinan Melayu. Usahanya mungkin sudah mula berjaya dan bukti tidak langsungnya adalah serangan terkini Pakatan terhadap institusi-institusi yang mengutuhkan Kepimpinan Melayu seperti BTN. Tetapi pada hemah saya, yang paling membahayakan usaha DS Najib dan pemimpin lain untuk menyuburkan kembali Kepimpinan Melayu bukanlah komplot Pakatan ...

Lebih membahayakan lagi adalah apabila ahli kabinet DS Najib memperagakan kenakalan ataupun mungkin kegopohan berpolitik seperti dipertunjukkan Datuk Nazri Aziz tempohari. Terkini pula, terlihat kerakusan yang ditunjukkan oleh penyokong-penyokong seorang Ketua Pemuda UMNO yang hebat cita-citanya! Mengalpakan lagi apabila seorang pegawai politik DS Najib sendiri dipertikaikan kewibawaannya.

DS Najib dan barisan pemimpin terdekat dengannya, termasuklah TS Muhyiddin, haruslah peka mendengar baik suara rakyat baik dari blog mahupun laporan jalanan berganding dengan nasihat orang-orang lama seperti Tun Dr M yang sejarahnya masih menggilap obor Kepimpinan Melayu. Adalah lebih baik Kepimpinan Melayu diutuhkan dengan kisah-kisah hero tak didendang kita ataupun bahan sejarah mentadbir yang hebatnya diakui dunia...

... dari diberi muka berterusan kepada primadona penghancur warisan Kepimpinan Melayu 1Malaysia...

Selamat Menyambut Maal Hijrah!

Friday, August 21, 2009

Kejijikan Imej Calon Pemimpin Malayu-Islam Menenggelamkan Isu... Setibanya Ramadhan!

Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pasir menjijikan saya. Saya jijik melihat bagaimana calon-calon parti-parti Melayu beragama Islam diperburukkan imejnya semata-mata untuk mengejar kemenangan. Lihat sahaja calon BN, sdr Rohaizat, bagaimana masalah firma guamannya, yang jika benar menjadi isu, sudah tentu sudah terhalang pencalonannya oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Lihat pula calon PAS, ada juga isu yang boleh menidakkan imejnya yang kononnya luhur!

Disamping itu, saya semakin sakit hati melihat telatah, mahupun masalah peribadi pemimpin besar Melayu juga semakin comot terpampang di kalangan rakyat. Lihat sahaja Tan Sri Khalid Ibrahim, yang kononnya tokoh korporat, kini terdedah bagaimana beliau seorang penghutang besar! Selain itu, bertelingkah pula dengan pemiutangnya BANK ISLAM... katanya kini YAB MB Pakatan Selangor diarah mahkamah membayar hutangnya!

Tak cukup pemimpin UMNO segala kecomotan diheret ke depan rakyat berbilang kaum negara kita, fitnah tidak tak kiralah... persepsinya buruk benar, terutama sekali selagi ikon-ikon korupsi masih bebas ber-Harrier ke sana-sini! Kini, nampak gaya pemimpin Melayu Pakatan pun kelihatan begitu pincang sekali! Katalah yang kes liwatnya Anwar isu basi, tetapi dari segi korupsi, nampak gaya pemimpin Melayu ISLAM Pakatan pun 2 X 5 juga! Apa, tidak ada alternatif lainkah kita?

Perit lagi, usaha menjijikkan keperibadian orang ini menyembunyikan isu-isu penting bagi masyarakat Melayu. Contohnya di Permatang Pasir sahaja, kenapakah ADUN PAS tiada dalam Exco kerajaan negeri Pulau Pinang, terutama sekali memandangkan PAS-lah pembawa majoriti undi Melayu ke Pakatan. KeAdilan cuma membawa undi pembelot UMNO dan golongan muda Melayu liberal. Apakah Melayu berpaksi Islam tiada tempat dalam kerajaan megeri?

Isu ini menjadi lebih penting apabila kita melihat, Ketua Pegawai Ketua Menteri DAP Pulau Pinang merangkap Ahli Parlimen Jelutong, YB Jeff Ooi, sendiri menggambarkan sifat anti-NGO Islamnya, dengan melabelkan Jemaah Islah Malaysia, JIM, suatu NGO profesional Islam, sebagai golongan ekstremis! Adakah ini menunjukkan kerajaan Pulau Pinang anti-Islam, dan Ketua Menterinya rajin berarak Maulud Nabi semata-mata mengabui mata umat Islam di Pulau Pinang?

Oleh itu, apakah maknanya apabila Tok Guru Nik Aziz, Mursyidul Am PAS yang tak diundi tetapi kekal di tampuk kuasa PAS atas dasar hormat, menyelar masyarakat Islam yang tidak menyokong PAS? Tidakkah ini menggusarkan hati orang-orang bukan Islam? Kalau pemimpin tertinggi PAS tidak menerima orang Islam yang bukan separti dengannya, adakah ini bermakna orang bukan Islam lebih mudah diterima olehnya?... kalau bukan kerana politik?... Ikhlaskah kepimpinan begini?

Isu-isu di atas jauh lebih penting dari kejijikan yang boleh dihamburkan ke atas mana-mana calon pemimpin Melayu Islam di Malaysia. Kenapakah yang ini tidak diketengahkan? Kenapakah orang PAS tidak rajin mempersoalkan kenapa Exco kerajaan negeri Perak pimpinan BN bersedia memberi tempat kepada semua pemimpin parti komponen kerana mereka menyumbang undi, sementara PAS yang membawa kemenangan Pakatan terus tersisih di Pulau Pinang?

Fikirlah teman-teman seagamaku... Ramadhan sudah tiba...

Friday, July 03, 2009

Punca Sebenar 'Kekalutan' Pakatan Rakyat... Dan Bahaya Kepada BN...

Perpecahan yang kelihatan menjadi-jadi antara anggota Pakatan Pembangkang kini sedang kuat di'analisa' berpropaganda oleh BN. Amnya saya setuju yang pertelingkahan pelbagai yang berlaku ini berpunca dari perlawanan prinsip dan dasar antara ahli Pakatan. Namun, saya rasa terlalu awal untuk menyatakan perpecahan berikut bakal memastikan masa depan BN sebagai parti pemerintah, apatah lagi kembalinya 2/3 Parlimen dan 5+1 negeri secara mutlak kepadanya.

Ketiga-tiga ahli Pakatan mempunyai matlamat berbeza dan tiada kesatuan tujuan selain benci terhadap BN; DAP mahukan Malaysian-Malaysia, PAS memperjuangkan 'Negara Islam' manakala PKR mahukan keadilan untuk DS Anwar Ibrahim, yakni menjadikan beliau Perdana Menteri. Ini lain dengan dasar kesatu-paduan BN yang dari pasca tahun 1969 berlandaskan perlunya keamanan di antara kaum di Malaysia.

Namun, kalau dilihat dari segi keputusan PRU-12 yang lepas, ketidak-samaan dasar bukanlah menjadi faktor utama kemenangan Pakatan Pembangkang di 5+1 dan kebanyakan kerusi Parlimen. Pada saya, 2 punca pokok kemenangan tersebut adalah:
  1. Kebencian rakyat terhadap kepimpinan, dasar dan tindak-tanduk kerajaan Pak Lah yang menyebabkan BN amnya ditolak di banyak tepi undi. Malah kalau dilihat, di banyak lokasi, BN kalah kerana pengundi BN enggan keluar mengundi. Kumpulan tidak mengundi inilah yang membawa risiko terbesar untuk BN, sekiranya mereka bukan sahaja tidak mengundi pada PRU-13, tetapi langsung menyokong parti lawan!

  2. Kejayaan DS Anwar Ibrahim menyatu-padukan PAS, DAP dan PKR sepanjang tempoh pilihanraya, justeru itu menubuhkan kerajaan-kerajaan negeri dari kalangan Pakatan Pembangkang sahaja. DS Anwar sebenarnya adalah satu-satunya pemimpin Pakatan yang ahli dalam politik persatuan antara parti ini, hasil latihan Tun Dr M sewaktu beliau dalam persediaan mengambil kedudukan Presiden UMNO sekaligus Ketua Barisan Nasional.

Dari segi peranan DS Anwar sebagai 'gam' yang mencantumkan parti-parti Pakatan supaya terduduk bersekongkong, bersuara senada, berpesta seirama, ia telah dibuktikan berkali-kali. Contoh yang terkini adalah apabila beliau kelihatan berjaya, melalui hubungan 'Erdogan'-nya, mematikan usaha PAS untuk bermuafakat dengan UMNO untuk perpaduan ummah Melayu.

Oleh itu, kita tidak sepatutnya hairan yang 'gam' antara parti-parti Pakatan pada masa ini lekang sedikit. Ini kerana 'gam' tersebut, DS Anwar, tengah sibuk dengan kes sodomi beliau terhadap bekas pegawai khasnya Saiful! Kerana beliau kini kesibukan memantau pengendalian kes tersebut, maka tak hairanlah kita melihat DS Anwar kurang mampu meleraikan keruncingan terkini antara 'teman-teman' Pakatannya, sehinggakan mesyuarat kepemimpinan pun ditangguhkan!

Namun, BN harus waspada! Pada masa ini, perpecahan menjadi-jadi kerana ketiadaan DS Anwar sebagi penyatu Pakatan dan ini adalah keadaan yang berkemungkinan SEMENTARA sahaja. DS Anwar mungkin selamat dari tuduhan Saiful, tetapi walaupun sekiranya beliau didapati bersalah dan dipenjarakan semula, masih ada kemungkinan timbulnya 'gam' baru bagi menggantikan DS Anwar dari kalangan pemimpin Pakatan... 'gam' yang nescaya lebih berkesan!

Sebenarnya, BN tidak harus menghiraukan langsung bersatu tidaknya Pakatan Pembangkang kerana pada dasarnya, kita bukan kalah kerana PAS, DAP dan PKR menarik bebenar kepada rakyat, baik dalam Pakatan mahupun dengan sendiri. Malah, kekalahan BN berlaku sebelum Pakatan Pembangkang diisytiharkan secara 'rasmi'nya. Kalahnya BN pada dasarnya kerana isu 1 di atas; kita ditolak hasil kebencian rakyat terhadap kepimpinan, dasar dan tindak-tanduk Pak Lah.

BN seharusnya terus meningkatkan usaha mengembalikan kepercayaan rakyat, baik menerusi dasar dan perkhidmatan mantap mahupun dengan meneruskan pembersihan parti-parti yakni dengan pembuangan anasir-anasir yang dibenci orang kebanyakan. Tugas berat juga harus dipikul oleh bahagian Penerangan setiap komponen BN, yang juga harus celik media di alam kepelbagaian sumber maklumat, terutama bagi menarik pengundi muda. Futsal dah tak cukup oi!

BN juga harus waspada yang kita tidak terus 'syok sendiri', bukan sahaja dengan apa dilihat sebagai kejayaan di dalam parti, tetapi juga anggapan perpecahan lawan di luar. Yang penting adalah pendapat rakyat dan isi hati pengundi terhadap BN... kerana merekalah yang bakal menentukan nasib pemimpin menjelang PRU-13...

Saturday, April 25, 2009

Penanti Dinanti Apa Nak Jadi...

Apa nak jadi di Penanti? Ini adalah antara persoalan yang berlegar di minda pemerhati politik tanah air. Saya fikirkah mahu melakukan analisa terperinci tentang ini, apabila saya diperkenalkan kepada blog baru ini yang agak ... tengok aje lah! Susah saya nak tambah kepada apa dihujahkan di blog tersebut, melainkan perkembengan terkini yang terus memeningkan!

Setidak-tidaknya, bagi BN, diharapkan kemelut siapakah bakal memimpin kempen di Penanti diharapkan dapat mula dijelaskan di mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO tempohari. Tetapi, perlantikan Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai Ketua Perhubungan Negeri Pulau Pinang, merangkap sudah pasti pengempen utama UMNO di Penanti semakin membingungkan.

UJIAN KEPADA DS ZAHID HAMIDI

OK-lah, saya akui, pilihan DS Zahid adalah lebih baik dari mengekalkan Pak Lah sebagi Ketua Perhubungan Negeri. Saya juga merasakan bekas Timbalan Pak Lah, Datuk Rashid, mahupun bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Hilmi Yahaya (yang pernah merawat saya semasa di MRSM Balik Pulau dulu) kurang sesuai sebagai Ketua Perhubungan Pulau Pinang yang baru. Malangnya juga, calon kegemaran saya, Datuk Ahmad Ismail, masih digantung!

Makanya, cari punya cari, ada hikmahnya DS Najib memilih untuk meletakkan ketiga-tiga Naib Presiden UMNO ke negeri-negeri seperti Pulau Pinang, di mana pemimpin-pemimpin utama UMNO tidak sebulu. Tetapi perlantikan DS Zahid ke kepimpinan UMNO Pulau Pinang semestinya merunsingkan untuk DS Zahid sendiri, kerana;

  • DS Zahid dahulunya 'General' DS Anwar Ibrahim yang memulakan serangan ke atas Tun Dr Mahathir.

  • Kemudian DS Zahid 'baiah' kepada Pak Lah atas dasar pesanan orang tuanya yang berguru kepada datuk beliau, Tok Guru Abdullah Fahim.

  • Namun pada pemilihan UMNO yang lepas, DS Zahid mengakui kesetiaan awalnya kepada DS Najib kerana beliau mula berjawatan politik di pusat atas ihsan beliau.

Tahulah orang politik ini sebahagian dari evolusinya adalah bertukar-tukar 'tuan'. Malangnya, perubahan haluan seperti dilakukan DS Zahid pasti menimbulkan tandatanya... kerana beliau berupaya ber'tuan'kan musuh ketat tuan lamanya... Ini mungkin petanda kehebatan DS Zahid sebagai seorang ahli politik, dan ini memang susah untuk dinafikan, tetapi saya juga merasakan, perlantikan DS Zahid ini merupakan suatu ujian kesetiaan untuk beliau...

BN KECELARUAN PILIHAN PERTANDINGAN, CALON MAHUPUN TAHAP USAHA

Menarik sekali juga apabila kita melihat, MKT UMNO telah memutuskan supaya keputusan sama ada UMNO akan mendorong BN untuk bertanding di DUN Penanti dilakukan oleh Biro Politik UMNO, yang lazimnya dipimpin oleh Presiden UMNO, DS Najib sendiri. Ada 3 kecelaruan keputusan yang harus dileraikan oleh Biro tersebut, dan DS Zahid pasti akan teruji buat pertama kalinya dalam persoalan:

  1. Sama ada BN patut bertanding? Kalau ya, kenapa, dan kalau tidak, bagaimana hendak menepis pendapat yang ini kerana BN dan UMNO kecut!

  2. Siapakah calon yang terbaik? Calon lama yang pernah menang dan kalah di Penanti ataupun calon yang baru?

  3. Tahap usaha bagaimanakah patut digunakan untuk merebut DUN Penanti?Adakah patut ia diserahkan kepada Perhubungan Negeri sahaja, ataupun diusahakan seperti PRK-PRK lain sebelum ini?

Saya sendiri sudah pun memberikan hujah kenapa BN harus mengimbangi amanah mentadbir dengan tanggungjawab berpolitik. BN harus bertanding tetapi usaha digembling oleh Perhubungan Negeri sahaja, sementara pemimpin BN Pusat mahupun negeri-negeri lain, menumpukan perhatian kepada pemulihan ekonomi. Orang-orang macam kita yang memang nyebok dan tak banyak tanggungjawab kerajaan ni boleh la campur... LOL.

Tetapi, ada juga isu-isu lain yang harus dipertimbangkan. Contohnya, bagaimanakah cara terbaik untuk mengecualikan 'tokoh-tokoh' yang membawa kekalahan kepada BN dari kempen di Penanti, seperti Khairy Jamaluddin, DS Samy Vellu mahupun Pak Lah sendiri? Tambah pula, adakah wajar Tan Sri Koh Tsu Koon diberikan peluang memimpin usaha ini bagi BN Pulau Pinang sebagai ketua parti komponen Gerakan?

PAKATAN RAKYAT DAN PKR PUN CELARU... TETAPI SAMPAI BILA?

Nasib baik bagi BN, Pakatan Rakyat dan PKR pun banyak celaru masih buat masa ini. Contohnya:

  • ADUN penyebab kemelut ini, si Fairus, tiba-tiba didapati tiada bukti pula untuk dihukum rasuah oleh SPRM. Namun, beliau tetap tidak mahu menarik balik perletakan jawatannya... dah bosan kut... atau 'fed-up'? Oh ya... dia nak sambung belajar!... Hai PKR... PKR... pilih calon pun...

  • Sekarang kerana kepelikan terlihat di sebalik perletakan jawatan Fairus, ada ura-ura yang beliau sebenarnya dipaksa pergi oleh kepimpinan PKR. Ini sekaligus mencetuskan khabar yang DS Anwar Ibrahim sendiri mungkin mahu bertanding di DUN Penanti!

  • Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, telah secara terbuka meluahkan rasa kecewanya terhadap kemelut ini, terutama sekali dengan drama perletakan jawatan Fairus. Hmmm... ni Lim Guan Eng memang tak puas hati sebab Fairus letak jawatan ke, atau panik kemungkinan DS Anwar jadi ADUN Penanti dan Timbalan Ketua Menteri I beliau?!

Namun begitu, saya masih yakin yang kebencian Pakatan Rakyat terhadap BN akan terus menyatu-padukan mereka menjelang PRK Penanti nanti. Soalnya, adakah rakyat masih sedia memilih gabungan parti yang agendanya berdasarkan benci semata-mata? Wallahualam...

Oh ya, jangan lupa mengudi 'Poll' saya yang pertama di sebelah atas kanan laman blog ... tentang Penanti ni la!

Sunday, April 19, 2009

Penanti: Antara Amanah Mentadbir Dan Tanggungjawab Berpolitik

Paparan saya yang lepas membuka perbincangan tentang DUN Penanti, tetapi fokusnya adalah pada betapa rendahnya kualiti wakil rakyat PKR, sehingga menyebabkan penyakit perletakan jawatan dan wabak PRK memanjang:
  1. Bukit Selambau dipertandingkan kerana berhentinya seorang ADUN PKR yang juga ahli exco kerajaan negeri Kedah terbukti KETANDUSAN MORAL.

  2. Penanti bakal dipertandingkan kerana ADUN PKR-nya tertuduh RASUAH sewaktu menyandang kedudukan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.

  3. 2 bekas ADUN PKR di Perak yang 'melompat' menjadi ADUN bebas masih menghadapi tuduhan SKANDAL RASUAH SEKS sewaktu mereka bertugas sebagai exco kerajaan negeri Pakatan Rakyat. ADUN-ADUN ini mungkin kehilangan kerusi selesai proses penghakiman atas kes mereka. PRK lagi!

  4. ADUN PKR di Bukit Lanjan merangkap exco kerajaan negeri Selangor baru-baru ini dimaafkan oleh MB PKR-nya atas SKANDAL gambar-gambar LUCAH beliau yang dipaparkan di internet. Sewaktu skandal masih hangat, beliau juga memberi gambaran betapa 'LIBERAL'nya perilaku beliau dalam hubungan peribadi.

  5. DS Anwar Ibrahim sendiri masih tertuduh JENAYAH MEROGOL salah seorang bekas pegawai khasnya.

Berdasarkan rekod buruk moral, rasuah dan keperibadian calon-calon dan wakil-wakil rakyat PKR, saya merasakan adalah tanggungjawab BN untuk memastikan rakyat ada pilihan calon yang lebih berwibawa dari apa yang bakal diajukan oleh PKR. Dahlah calon PKR ini diramalkan akan dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang pula!

Selain itu, DS Najib juga seharusnya sedar yang sekiranya BN tidak mengajukan calon, ia akan menggalakkan calon-calon bebas untuk menawarkan diri. Maka, kalaupun BN tidak bertanding pun, pertandingan akan tetap berlaku kerana timbulnya calon-calon bebas tersebut, dan pembaziran wang untuk menyelenggarakan PRK ini juga tidak mungkin terelak!

Namun saya tidak boleh nafikan yang ada hikmah besar sekiranya BN tidak terlibat di PRK Penanti. Setidak-tidaknya, ia akan memberi peluang untuk DS Najib dan kepimpinan BN menumpukan lebih perhatian dalam menyelesaikan msalah ekonomi yang mengancam kemakmuran negara. Soalnya sekarang, apakah jalan terbaik untuk BN mengimbangi antara amanah mentadbir negara dan tanggungjawab berpolitik di Penanti.

Pada hemah saya, BN harus bertanding di Penanti, tetapi DS Najib dan hampir kesemua kepimpinan parti boleh dikecualikan dari penglibatan dalam kempen. Yang perlu hanyalah penglibatan BN dan Perhubungan Negeri Pulau Pinang, mungkin di bawah kepimpinan seorang ahli kabinet dari Pulau Pinang sebagai peneraju, seperti Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. Kalau ada ahli-ahli dan pemimpin dari negeri-negeri lain nak membantu, boleh, tetapi tak perlulah seghairah dahulu!

Sesuaikah cadangan tersebut mengimbangi antara amanah dan tanggungjawab BN? Wallahualam... tetapi yang menarik juga... betulkah DS Anwar Ibrahim sendiri bakal menjadi calon PKR di Penanti? Dapat jadi Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang!

PS: Saya dah mula balik kerja, tapi dengan perlahan-lahan. Hari ini 1/2 hari sahaja dulu. Masih kena buat physio, tetapi insya'Allah, semakin sihat...

Tangential Malay Search Results