Showing posts with label Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Pendidikan. Show all posts

Sunday, August 17, 2008

Cadangan 30% Kuota Melayu & Bumiputra Di IPTS Dipanjangkan - Bab 1

Menarik sekali reaksi kepada cadangan saya untuk mengenakan kuota minima 30% Melayu dan Bumiputra di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), baik menerusi blog, e-mail mahupun sms. Reaksi kelihatan terbahagi 3 pihak:
  1. Reaksi Majoriti Kawan-Kawan Dalam UMNO: Memang amnya bersetuju tanpa persoalan. Yang ini tak perlulah saya ulas lagi, sebab dah sesuai dengan naluri UMNO memperjuangkan hak Melayu walau kelihatan ekstrim.

  2. Reaksi sekumpulan pemimpin UMNO dan juga pengkritik, amnya meminta usul dipanjangkan sedikit kerana cadangan kelihatan terlalu ringkas dan mungkin cetek intipatinya. Ini saya akui kerana untuk dimuatkan dalam sms; akan saya panjangkan lagi di sini.

  3. Reaksi kumpulan yang merasakan 'Melayu tak perlu kuota lagi', 'Melayu dah cukup pandai' dan 'Lebih baik dibenarkan Melayu bersaing secara terbuka'. Mungkin ini juga pendapat yang sebenarnya dipegang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau mengemukakan ide memberi kuota 20% kemasukan bukan Melayu ke UITM sewaktu berkempen untuk undi kaum Cina di Permatang Pauh.

Ingin saya tangani dahulu Reaksi 3. Walaupun saya setuju ramai orang Melayu dan Bumiputra yang cukup mantap perisian awal pendidikannya sehingga boleh bersaing dengan pelajar bukan Bumiputra, ini amnya merangkumi anak-anak keluarga berkelas menengah (middle class) ke atas yang lazimnya bermastautin di bandar atau sesetengah pekan besar.

Kalau dilihat secara menyeluruh, terlalu ramai Bumiputra, baik di luar bandar mahupun dari kalangan miskin di kota (urban poor) yang perisian pendidikannya masih belum cukup untuk bersaing secara langsung dengan pelajar bukan Bumiputra. Ini bukan sebab kurangnya kebolehan minda Bumiputra, tetapi hasil terbatas peransangan fikiran kerana pendapatan keluarga tak cukup untuk membiayai buku-buku, komputer, aktiviti pelajaran luar sekolah dan sebagainya.

Faktor budaya antara kelas pendapatan juga suatu perkara yang mempengaruhi kebolehan bersaing. Amnya, anak-anak Melayu dan Bumiputra yang dimanfaatkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), dan mungkin juga akan menghargai cadangan ini, tidak dapat mengalami budaya mengejar ilmu di rumah kerana situasi keluarga yang terperangkap dalam budaya rezeki kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Inilah sasaran DEB dan juga cadangan seumpama yang saya kemukakan.

Seorang pemberi komen blog menyatakan yang anak Bumiputra yang dilindung kuota umpama singa dikandang yang gemuk tetapi lemah berbanding anak seekor singa yang kurus di hutan. Masalahnya, perumpamaan itu kurang tepat, kerana anak-anak kita amnya singa yang tempang pada lahirnya, kerana kurang perisian pendidikan, yang bakal maut jika dilepas terus ke hutan. Harus dikandang dahulu sehingga sembuh tempangnya sebelum dilepas bersaing di belantara.

Sekarang kita bergerak ke Reaksi 2, yakni sama ada cadangan tersebut pada lahirnya terlalu cetek perisian untuk dibawa ke hadapan. Saya bersetuju yang cadangan ini haruslah diberikan sedikit lagi, dan saya mengatakan ini Bab 1 kerana mungkin dengan maklum-balas, boleh kita perincikan bersama.

Pertama, kenapa 30% kepada Melayu dan Bumiputra sahaja. Bangsa dan golongan lain tak ada yang miskinkah?

Saya memberi tumpuan kepada cadangan untuk kebaikan Melayu atas tanggungjawab saya sebagai seorang pemimpin akar-umbi Melayu. Tetapi saya juga menyolong jika ada yang mencadangkan kuota juga untuk kaum India - katalah 7% minima, berdasarkan demografi, sebab yang miskin tegar di kalangan kaum India pun ramai. Kalau nak berikan kepada kaum Cina susah sikitlah, sebab sebagai satu komuniti, mereka cukup kaya dan takkan lah nak perlu kuota!

Malah, apa kata kita adakah kuota lebih tinggi untuk IPTS di Sabah dan Sarawak, di mana miskin tegar Bumiputra pun terlalu ramai. 50%?

Dari segi praktiknya, bagaimanakah kuota 30% IPTS boleh dijadikan kenyataan?

Ini bukan perkara rumit. Kerajaan hanya perlu memasukan kuota tersebut sebagai syarat perlesenan IPTS dari tahun ke tahun. IPTS sendiri boleh usahakan dengan bank-bank untuk memberi pembiayaan pelajaran kepada pelajar mereka. Apa salahnya juga sekiranya PTPTN juga membenarkan pinjaman untuk ke IPTS. Tetapi PTPTN haruslah menghadkan bantuan supaya setara dengan pembayaran ke IPTA. Ya lah, takkan PTPTN nak tolong taukeh IPTS menjadi lagi kaya!

Menarik sekali, para pelajar Melayu dan Bumiputra akan didedahkan kepada pelbagai sumber kewangan untuk menyambung pelajaran atas usaha IPTS untuk mencapai kuota! Sumber tersebut mungkin tiada dalam fikiran pelajar tersebut sekarang kerana masalah budaya pembelajaran yang diperkatakan. Ini akan saya panjangkan lagi dalam Bab 2 Insya'Allah, memandangkan sudah ada maklum-balas tentang masalah ketidak-mampuan Bumiputra membayar yuran IPTS.

Tidakkah ini akan merugikan golongan bukan Bumiputra?

Tidak! Kerana menurut imbangan Pembekalan dan Permintaan atau 'Supply and Demand', sekiranya masih ada kehendak dari pihak yang mampu membiayai pendidikan ke IPTS dari golongan bukan Bukiputra, jumlah atau saiz IPTS tentu akan dikembangkan! Malah, cadangan ini mungkin memperkayakan lagi sistem pendidikan tahap universiti kita!

OK lah, akan saya sambung lagi selepas mendapat maklum-balas, Insya'Allah...

Tangential Malay Search Results