- PKR kini kelihatan semakin pincang bukan sahaja di peringkat nasional tetapi di Hulu Selangor sendiri sepanjang tempoh PRK dengan larinya para pemimpin dan wakil rakyatnya keluar parti.
- Faktor 'calon orang luar' yakni terpilihnya Datuk Zaid Ibrahim kelihatan tidak memberi kesan yang ketara kepada penyokong tegar PKR mahupun Pakatan di Hulu Selangor. Ternyata kepada ramai yang sekiranya Datuk Dr Hariri menjadi calon, kemenangan berkemungkinan di tangan PKR!
- Segala tohmahan dan cerca-merba yang dilontarkan kepada DS Anwar Ibrahim juga tidak nampak berkesan. Para pengundi seolah-olah sedia memilih parti pimpinan beliau walaupun penuh dengan kepincangan.
- Kerajaan negeri Selangor tidaklah begitu hebat pencapaiannya setakat ini. Malah, begitu banyak usaha pembangunan yang tertangguh dan isu seperti salah-langkah Pakatan menuduh SPRM sebagai pembunuh Teoh Beng Hock seharusnya merapuhkan kewibawaan kerajaan tersebut.
Namun, walaupun menghadapi semua yang diatas, PKR masih mampu mencabar! Paling membimbangkan sekali adalah penolakkan pengundi Cina di Hulu Selangor terhadap BN, termasuk gagasan 1Malaysia dan tawaran pembinaan Sekolah Cina di kawasan Parlimen tersebut! Sememangnya pengundi Cina lazimnya tidak begitu tegar sokongannya terhadap BN, berlandaskan ide yang kuasa BN perlu ada timbal baliknya. Namun, mungkin sokongan sekadar 50% telah diharapkan.
Tetapi terlihat sokongan Cina kepada calon BN merudum ke hanya ~25%! Sebab kenapa sokongan begitu lemah sekali dari golongan ini masih dalam pertimbangan. Ada yang menuding jari ke arah kelemahan MCA dan Gerakan meraih undi. Ada juga yang menyalahkan Kamalanathan kerana sudi melayan kumpulan pendesak Melayu, Perkasa, yang juga dikatakan menyebabkan penurunan undi India dari 70% ke 60% untuknya.
Penolakkan undi Cina, malah persoalan kenapa corak pengundian begitu dipengaruhi faktor bangsa, seperti kehendak pengundi Melayu, termasuk yang menyokong BN, supaya calon Melayu diketengahkan, haruslah mencemaskan DS Najib dan para penggerak gagasan 1Malaysia. Jelas, 1Malaysia masih belum dihayati secukupnya untuk menebus benteng perbezaan pendapat antara bangsa dalam pelbagai isu. Malah, mungkin akan timbul suara nakal untuk dikecualikan bangsa Cina dari agenda BN, dan ini haruslah dielakkan sama-sekali!
Tetapi jurublog sendiri merasakan dari segi menarik undi, ada intipati kempen BN yang mungkin tidak begitu berhasil dan harus dirombak semula. Usaha mendekati pengundi seperti berkempen rumah ke rumah dan terutama sekali gerak-kerja Datuk Ahmad Maslan yang memberi penumpuan kepada pengundi dari kawasan Felda adalha contoh-contoh positif yang harus dikekalkan. Tetapi, ada juga unsur kempen berbentuk negatif BN yang kini sudah kurang berkesan, seperti:
- Penggunaan bekas pemimpin pembangkang, khususnya bekas ahli PKR untuk 'mendedahkan' salah-laku DS Anwar Ibrahim, PKR dan Pakatan Pembangkang. Ini dilihat oleh ramai pengundi sebagai usaha peribadi melepaskan pekung di dada kerana kecewa dan marah terhadap DS Anwar. Maklumat yang dibawa oleh mereka mungkin menarik perhatian mereka, tetapi cara dan niat pembawa begitu mudah disangsi pendengarnya.
- Penumpuan keterlaluan terhadap kepincangan peribadi DS Anwar Ibrahim sepanjang kempen juga mungkin kurang wajar. Ada pengundi sehingga mempersoalkan relevan tidaknya DS Anwar diserang, dan kerana ianya bertalu-talu, begitu mudah untuk para pengundi berhenti mendengar lagi tentang kealpaan beliau. Mempersoalkan keperibadian calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim, mungkin lebih relevan, tetapi juga tak seharusnya melepasi had.
- Pemantauan terhadap pengundi luar, yakni 25% dari para pengundi, masih agak lemah. Malah, BN seolah-olah terkejut apabila faktor pengundi luar timbul kembali dan membahayakan kedudukan calon. Kebanyakan pengundi luar tidak berapa memperdulikan apa yang diperkatakan di padang kempen, tetapi lebih peka terhadap isu di tempat bermastautin atau isu-isu nasional. maka Datuk Zaid mungkin lebih relevan sebagai calon mereka!
- Walaupun BN telah berjaya mengelakkan dari turunnya pemimpin-pemimpin BN yang dicemuh rakyat seperti DS Samy Vellu dan YB Khairy Jamaluddin ke medan kempen mengelak tertolaknya BN oleh pengundi, masih ada lagi pemimpin BN yang cuma berdaya 'mentuba' usaha kita untuk menang. BN haruslah memastikan pemimpin sedemikian terus disisihkan dan pemimpin baru yang sedia diterima seperti Datuk Ahmad Maslan terus diketengahkan.
Dalam membuat pemerhatian di atas, jurublog tidak mengakui diri lebih tahu dari mereka yang menggerakkan kempen BN di Hulu Selangor. Tetapi ini menjadi sekadar sumbangan untuk memperbaiki peluang BN menjurus ke PRU-13 kelak. Risiko yang dihadapi BN masih tinggi dan penguasaan 2/3 Parlimen mahupun kerajaan negeri Selangor masih sekadar impian sekiranya kedudukan BN tidak terus diperbaiki.
Lagipun, jurublog pun pasti ada kesilapan semasa berkempen...


